Penyelesaian pergolakan di rantau ASEAN tidak boleh bergantung hanya kepada diplomasi

Penyelesaian pergolakan di rantau ASEAN tidak boleh bergantung hanya kepada diplomasi

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebarang pergolakan yang berlaku dalam kalangan negara ASEAN tidak boleh bergantung kepada usaha diplomasi semata-mata, sebaliknya memerlukan institusi yang mampu berfikir, menulis dan bertindak. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan Institute of Internationalization and ASEAN Studies (IINTAS) adalah tepat pada masanya ketika negara menggalas peranan sebagai Pengerusi ASEAN. 

Beliau berkata, IINTAS juga boleh memperkukuhkan peranan serantau Malaysia melalui penghasilan penyelidikan yang berwibawa, idea dasar dan pandangan strategik.

“IINTAS boleh bekerjasama dengan pusat-pusat lain seperti Institut Antarabangsa Kajian Masa Depan, Pusat Kajian Keamanan, Dialog dan Xenofobia, Pusat Dialog Islam-Konfusianisme serta Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS). 

“IINTAS juga perlu memperkukuh keterlibatan dengan Rakan Dialog Strategik ASEAN termasuk Amerika Syarikat (AS), China, India, Kesatuan Eropah, Jepun, Australia, New Zealand dan Russia. Hubungan ini penting dalam menentukan bagaimana ASEAN bertindak balas terhadap cabaran global,” katanya dalam ucapan perasmian pelancaran buku dan penubuhan IINTAS di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC) di sini, hari ini. 

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. 

Anwar berkata, Malaysia mesti terus berperanan sebagai medan untuk keterlibatan berdasarkan kestabilan dalaman dan kredibiliti antarabangsa yang meletakkan negara pada kedudukan sesuai untuk menjadi tuan rumah perbincangan. 

Katanya, negara perlu memikul tanggungjawab itu dengan visi, kepemimpinan dan kredibiliti dalam era yang penuh ketidaktentuan. 

“ASEAN, yang sekian lama dihormati sebagai zon keamanan dan kerjasama, kini berdepan cabaran yang serius. Ketegangan terbaru antara Thailand dan Kemboja telah menyebabkan lebih 300,000 orang kehilangan tempat tinggal. 

“Walaupun kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata, rantau ini mesti kekal berwaspada. Usaha untuk memulihkan kestabilan perlu diteruskan secara berterusan.

“Malaysia telah mengambil langkah awal. Kita telah menjadi tuan rumah kepada kepemimpinan Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur. Kita komited kepada dialog, keamanan dan pemeliharaan semangat kerjasama ASEAN,” katanya. 

Pada majlis sama, buku berjudul ‘Education of the Interior: Essays in Honour of Professor Syed Ali Ashraf’ turut mendapat sentuhan Anwar apabila menghasilkan epilog atau ringkasan akhir.  

Buku yang mengupas kepentingan akhlak dan perilaku manusia itu disunting oleh Ketua Pengarah Akademi Islam di Cambridge, England; Shaikh Abdul Mabud. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN