KUALA KANGSAR: Juara keseluruhan Liga Sepak Takraw (STL) 2025, Perak Bison dirai peminat Perak di Kuala Kangsar hari ini.
Majlis sambutan diadakan di kilang ubat farmasiutikal Afiat di sini.
Pengurus Besar Afiat, Abdul Raof Ahmad Zakaria berkata, tujuan diadakan sambutan kepada pemain itu ialah untuk menyemarak semangat pasukan serta rakyat negeri.
“Perak Bison berjaya menjulang nama negeri Perak dalam sukan sepak takraw. Nama Perak kini dijulang selepas muncul juara STL,” katanya.
Menurutnya, selaku penaja, Afiat terpanggil untuk meraikan pasukan bagi menghargai pencapaian Perak Bison muncul juara.
Abdul Raof berkata, Perak Bison juga cemerlang dalam saingan Trofi Juara-juara dengan menduduki tempat ketiga.
“Saya yakin rakyat negeri Perak juga turut berbangga dengan kejayaan ini.
“Jadi melalui program hari ini peminat berpeluang bertemu dan menyapa pemain, ” katanya.
Sementara itu, Pengurus pasukan, Mohd Jaffrey Mohd Zainol berterima kasih kepada syarikat Afiat kerana meraikan pasukan.
“Ini satu penghargaan kepada pemain. Saya yakin semangat mereka bertambah bersemarak dalam tugasan selanjutnya,” katanya.
Pada majlis itu semua pemain kecuali tekong Thailand, S Kritsada hadir dalam sesi ramah mesra dengan peminat. – UTUSAN










