PETALING JAYA: Pelakon, Anzalna Nasir memaklumkan jumlah pengikutnya di media sosial semakin meningkat selepas tampil anggun menjadi pembawa dulang hantaran di majlis perkahwinan Amira Othman dan Fattah Amin, Ahad lalu.
Meskipun sebelum ini mereka teruk dikecam, Anzalna berkata dirinya langsung tidak terkesan dengan isu boikot pembawa dulang hantaran pasangan itu seperti yang diperkatakan.
“Iya, saya tahu benda ni bukanlah penting sangat. Tapi saja nak kongsi dengan anda semua. Followers saya naik di Instagram, Threads, TikTok.
“Maknanya mereka tidak ‘unfollow’ atau boikot pun,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Dalam hantaran sama, pelakon drama bersiri Memori Cinta Suraya itu turut mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada mereka atas khilaf yang tidak disedari.
“Hati mereka sebenarnya baik, tidak buat pun apa yang digembar-gemburkan. Jangan marah-marah lagi okay.
“Saya pun mahu minta maaf kalau ada salah silap. Maruah tidak akan jatuh pun bila kita merendah diri untuk minta maaf. Sayang semua,” ujarnya.
Terdahulu, Anzalna dikritik segelintir pihak kerana menjadi pembawa dulang hantaran ketika di majlis pernikahan Amira dan Fattah yang berlangsung pada 14 September lalu.
Antara selebriti yang turut dikecam netizen ialah Ernie Zakri, Nabila Razali, Wany Hasrita dan Qasrina Karim. -UTUSAN