WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menamatkan perkhidmatan seorang pendakwa raya persekutuan yang dilaporkan menghadapi tekanan berkaitan siasatan ke atas dua lawan politiknya.
Pendakwa raya AS untuk Daerah Timur Virginia, Erik Siebert, memberitahu kakitangan mengenai peletakan jawatannya melalui e-mel pada Jumaat, lapor New York Times.
Namun, Trump di platform Truth Social pula mendakwa peletakan jawatan itu bukan inisiatif Siebert, sebaliknya tindakan beliau sendiri.
“Hari ini saya menarik pencalonan Erik Siebert sebagai Pendakwa Raya AS untuk Daerah Timur Virginia, apabila dimaklumkan beliau menerima sokongan luar biasa daripada dua Senator Demokrat di negeri Virginia.
“Beliau tidak meletak jawatan, saya pecat dia!,” tulis Trump.
Beberapa jam sebelum pengumuman itu, Trump memberitahu wartawan di Pejabat Oval beliau mahu Siebert keluar daripada jawatan itu.
Siebert didakwa menghadapi tekanan untuk mendakwa dua lawan politik Trump, bekas Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), James Comey, yang dipecat Trump pada 2017, dan Peguam Negara New York, Letitia James.
Pendakwa raya persekutuan itu dilaporkan memberitahu Jabatan Keadilan beliau enggan mendakwa Comey atas dakwaan berbohong kepada Kongres, dan juga mendapati tiada bukti mencukupi untuk menuduh James dalam kes penipuan gadai janji.
Comey dipecat semasa mengetuai siasatan mengenai mana-mana anggota kempen Trump berkomplot dengan Moscow untuk mempengaruhi pilihan raya presiden 2016, dan menjadi pengkritik lantang terhadap presiden Republikan itu.
Manakala James, menyaman Trump sebanyak AS$464 juta (RM1.9 bilion), mendakwa beliau dan syarikatnya menaikkan nilai kekayaan dan hartanah secara tidak sah untuk mendapat pinjaman bank atau insurans yang menguntungkan.- AFP











