Penggunaan kerusi keselamatan bayi di Malaysia masih rendah - Miros

Penggunaan kerusi keselamatan bayi di Malaysia masih rendah – Miros

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan kerusi keselamatan bayi dan kanak-kanak dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah iaitu sekitar 30 peratus walaupun ia sudah diwajibkan sejak tahun 2020.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) berkata, menurut kajian dilaksanakan pada 2022 mendapati, penggunaan kerusi keselamatan di Malaysia hanya sekitar 30 peratus walaupun peraturan itu diwajibkan 1 Januari 2020.

Sedangkan, katanya, penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak sangat penting bagi melindungi bayi atau kanak-kanak dalam sebarang kemalangan.

“Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh 2014 hingga 2023 menunjukkan purata 434 kanak-kanak maut akibat kemalangan jalan raya setiap tahun iaitu bersamaan lapan kanak-kanak yang terkorban setiap minggu.

“Oleh kerana kemalangan jalan raya tidak dapat dijangka, ibu bapa dan penjaga disarankan sentiasa menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak sebagai langkah utama untuk mengurangkan risiko kecederaan dan kematian,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, kerusi keselamatan kanak-kanak yang dipasang dengan betul dan sesuai mengikut ketinggian serta berat kanak-kanak terbukti dapat mengurangkan risiko kematian penumpang berusia 0 hingga 4 tahun antara 54 hingga 71 peratus.

Katanya, ibu bapa dan penjaga perlu memastikan perjalanan bersama kanak-kanak sentiasa menggunakan kerusi yang mematuhi piawaian, dipasang dengan betul dan digunakan setiap masa.

“Miros juga menggesa pembuat dasar, penguat kuasa undang-undang dan pihak industri memperkukuh usaha advokasi, pendidikan serta penguatkuasaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di Malaysia.

“Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko kecederaan dan kematian kanak-kanak di jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, menurut agensi itu, Pasukan Siasatan Kemalangan Miros sedang menjalankan penilaian teknikal terhadap kenderaan berat yang terlibat dalam kemalangan maut pada 27 September lalu di Plaza Tol Bukit Kajang hingga meragut nyawa seorang bayi.

“Ini termasuk pemeriksaan sistem brek, bagi mengenal pasti sama ada terdapat bukti kegagalan fungsi atau faktor lain sebagai punca utama kemalangan.

“Miros juga bekerjasama dengan PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh,” katanya.

Tambahnya, penyelenggaraan kenderaan secara berkala adalah aspek kritikal dalam memastikan keselamatan pemanduan, terutamanya bagi kenderaan komersial yang sering beroperasi dan membawa muatan berat.

“Pemandu dan pengusaha lori perlu sentiasa memeriksa sistem brek, tayar dan komponen kritikal lain sebelum perjalanan, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik melalui penyelenggaraan berkala yang mengikut jadual.

“Pada masa sama, pemandu dan pengusaha juga perlu mematuhi undang-undang jalan raya termasuk had laju, rehat secukupnya dan elak pemanduan berisiko.

“Kajian Miros terhadap data 2011 hingga 2015 menunjukkan lebih 1,000 kemalangan maut melibatkan kenderaan berat berlaku setiap tahun dengan lebih 80 peratus kematian membabitkan pengguna jalan raya lain.

“Kebanyakan insiden berlaku di lebuh raya akibat kelajuan tinggi, khususnya di jalan lurus (65.5 peratus). Kemalangan dengan motosikal menyumbang kadar kematian tertinggi (61 peratus), manakala pelanggaran belakang dan sudut paling banyak dilaporkan,” katanya.

Miros berkata, kajian sama pada pada 2022 pula mendapati hanya 31.9 peratus pengendali kenderaan awam dan perdagangan mematuhi Kod Amalan Industri untuk Keselamatan Pengangkutan (ICOP).

“Tahap pematuhan lebih tinggi direkodkan pengendali besar (93.6 peratus) berbanding syarikat kecil dengan kategori bas ekspres (78 peratus) dan bas persiaran (71 peratus) mencatatkan pematuhan lebih baik berbanding lori sebanyak empat peratus,” jelasnya.

Agensi itu berkata, dapatan berkenaan menekankan keperluan pelan keselamatan khusus untuk kenderaan berat termasuk kawalan kelajuan lebih ketat, pemantauan berasaskan GPS, penambahbaikan reka bentuk jalan dan peningkatan latihan, bimbingan serta audit keselamatan terutama bagi pengendali yang mencatat tahap pematuhan rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN