PETALING JAYA: Pengawal keselamatan Suria KLCC dikecam kerana disifatkan ‘berlagak samseng’ dan tidak profesional terhadap sekumpulan peserta solidariti terhadap Palestin baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Wan Fatin Suryanie Wan Ahmad menafikan dan mengecam penjelasan pengurusan Suria KLCC yang mengatakan bahawa pengawal keselamatannya hanya bertindak mengikut prosedur keselamatan premis iaitu melarang peserta membawa masuk kayu ke dalam pusat beli belah terbabit.
Jelasnya, penjelasan diberikan tidak tepat dan mengelirukan kerana pengawal keselamatan di premis tersebut turut menyasarkan individu yang membawa bahan-bahan berkaitan solidariti kepada Palestin.
Menurutnya, sebelum kejadian berlaku terdapat satu himpunan dianjurkan termasuk membabitkan bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau Tian Chua di luar premis yang membantah kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Malaysia.
“Ketika itu hanya mahu masuk ke dalam pusat beli-belah untuk membersihkan diri, minum dan menunaikan solat, bukannya untuk mengadakan demonstrasi.
“Kami bawa prop, patung bayi, plakad, mafla (keffiyeh), periuk, dan bendera Palestin yang digulung. Tetapi di pintu masuk, pengawal berpakaian hitam yang berlagak samseng tukar syarat.
“Mula-mula tak benarkan bawa patung, kemudian plakad, kemudian mafla, dan akhirnya mengganggu kawan saya kerana bendera yang digulung,” katanya.
Wan Fatin menceritakan bahawa Tian Chua yang turut menyertai bantahan telah campur tangan untuk meminta penjelasan mengenai apa sebenarnya yang dilarang namun pengawal itu hanya menunjuk kepada mafla yang dipakainya
“(Tian Chua) menegur mereka bahawa adalah tidak sah melarang barangan tersebut, tetapi pengawal semakin melampau, menyerbu kami dan bahkan tidak menghormati beliau.
“Ada yang suruh kami serahkan bendera lalu masuk. Kami akur, tapi berlaku tolak-menolak hingga meninggalkan trauma kepada kami,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial tindakan sekumpulan lelaki berbaju hitam dipercayai pengawal keselamatan di Suria KLCC menghalang beberapa individu termasuk Tian Chua yang memakai keffiyeh Palestin di dalam premis tersebut. – UTUSAN










