BUTTERWORTH : Seorang penganggur direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung satu kes samun membabitkan warga emas berusia 88 tahun di Taman Kerapu di sini, minggu lepas.
Perintah reman yang bermula hari ini sehingga Ahad itu dikeluarkan oleh Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal di Mahkamah Butterworth, di sini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Suspek yang berusia 42 tahun sebelum itu tiba di mahkamah kira-kira pukul 12 tengah hari dengan diiringi oleh anggota polis.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang pada 13 September lalu, mangsa yang tinggal bersendirian ketika itu telah didatangi oleh suspek yang menunggang motosikal dan lalu di hadapan rumahnya.
Suspek kemudian bertindak menolak mangsa sehingga terjatuh sebelum melarikan dompet berisi wang tunai berjumlah RM200, kad pengenalan dan lesen memandu.
Bertindak atas laporan, polis kemudian menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan suspek di Taman Mewah, di sini kira-kira pukul 8 malam tadi.
Semakan mendapati, suspek juga disyaki terbabit dalam satu lagi kes samun melibatkan seorang warga emas berusia 82 tahun.
Pemeriksaan lanjut pula mengesahkan bahawa lelaki terbabit turut mempunyai 17 rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.-UTUSAN