Penarafan kredit berdaulat kekal A-

Penarafan kredit berdaulat kekal A-

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berjaya mengekalkan penarafan kredit berdaulat pada tahap ‘A-’ dengan tinjauan stabil oleh S&P Global Ratings (S&P) sekali gus membuktikan keyakinan terhadap kekuatan asas ekonomi negara di sebalik cabaran geopolik semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu amat signifikan memandangkan ia dicapai ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan aliran perdagangan.

“Kerajaan Madani memberi tumpuan kepada menambah baik kualiti kehidupan rakyat dan melaksanakan reformasi ekonomi di samping memastikan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab.

“Walaupun keadaan luaran kekal tidak menentu, kerajaan beriltizam untuk meneruskan pembaharuan yang akan memartabatkan Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada tahun lalu dan 2023, S&P turut mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia masing-masing pada A- selain menetapkan tinjauan pada kadar stabil.

Menurut S&P, penarafan tersebut disokong oleh pelbagai faktor antaranya momentum pertumbuhan yang mapan, kedudukan luaran seimbang dan defisit fiskal yang mengecil.

Agensi itu berkata, kestabilan politik di bawah pentadbiran Anwar telah menggalakkan penggubalan dasar, sekali gus membolehkan pembaharuan ekonomi dan konsolidasi fiskal dilaksanakan berterusan.

“Tinjauan stabil mencerminkan momentum prestasi pertumbuhan Malaysia serta persekitaran dasar semasa yang mampu meningkatkan prestasi fiskal secara sederhana dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” kata laporan itu.

S&P juga menekankan ke­kuatan ekonomi Malaysia berdaya tahan, dasar monetari fleksibel dan lebihan akaun semasa yang konsisten sebagai faktor utama mengekalkan penarafan tersebut.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ekonomi Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus pada separuh pertama tahun ini.

“Ia dipacu oleh perbelanjaan isi rumah berdaya tahan, pasaran buruh memberangsangkan, kadar inflasi terkawal, pelancongan domestik yang rancak dan dasar kerajaan mengekalkan kuasa beli rakyat.

“Pertumbuhan ini disokong aktiviti pelaburan sektor swasta dan awam khususnya pembuatan, perkhidmatan serta pembangunan infrastruktur. Secara keseluruhan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 diunjurkan berkembang antara 4.0 hingga 4.8 peratus,” katanya.

Selain itu, Malaysia me­ngekalkan kedudukan luaran yang stabil dengan rekod lebihan akaun semasa lebih dua dekad manakala S&P menjangkakan ia kekal sekitar 2.1 peratus daripada KDNK dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Perdana Menteri berkata, namun kerajaan terus berwaspada terhadap cabaran global termasuk perubahan dasar perdagangan antarabangsa dengan memastikan dasar ekonomi negara kekal tangkas dan fleksibel.

Katanya, agenda pembaharuan menyeluruh di bawah kerangka Ekonomi Madani terus dilaksanakan bagi mencapai pertumbuhan mampan dan daya tahan ekonomi kukuh.

“Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 menjadi panduan memastikan konsolidasi fiskal berada pada landasan tepat tanpa menjejaskan pertumbuhan.

“Belanjawan 2026 diumumkan bulan hadapan adalah belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan menjadi pemacu penting melonjakkan Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN