Masalah pengurusan tanaman yang tidak efisien khususnya melibatkan penggunaan air dan tenaga sering menjadi cabaran utama bagi petani di kawasan luar bandar. Situasi ini bertambah buruk apabila mereka berdepan perubahan cuaca yang tidak menentu.
Menyedari kepentingan isu tersebut, sekumpulan pelajar daripada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Yahyawiah, Perak tampil dengan inovasi berasaskan teknologi moden yang dinamakan Sistem Kawalan Pintar i-Grow (IGSCS).
Sistem pintar itu berfungsi untuk membantu petani menguruskan tanaman secara automatik, cekap dan lestari sekali gus menyokong aspirasi pertanian moden berasaskan teknologi pintar.
Alat tersebut direka khas oleh empat pelajar sekolah itu, Muhammad Amsyar Mohammad Amin,15, Ahmad Arif Hakimi,15, Muhammad Habibullah Shaari,15 dan Muhammad Asyhad Adli,15 bagi membantu para petani menjimatkan masa, air dan tenaga di samping memastikan tanaman berada dalam keadaan yang baik.
IGSCS turut berjaya menempatkan diri sebagai salah satu daripada sembilan finalis daripada keseluruhan 62 kumpulan pada peringkat akhir Pertandingan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Celik Inisiatif 2025.
Penyelidikan inovasi tersebut turut mendapat bimbingan daripada guru Maahad Al-Yahyawiah, Anizah Anuar.
Menurut Anizah Anuar, walaupun pelajar hanya mempunyai asas dalam subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) namun kegigihan mereka dalam meneroka sendiri inovasi ini sangat membanggakan.
“Mereka sangat meminati bidang ini. Mereka sanggup meluangkan masa di bengkel selepas waktu sekolah dan mencari sendiri maklumat yang berkaitan.
“Saya hanya memberi panduan dan cadangan kepada pelajar selebihnya mereka berusaha melakukannya sendiri dengan penuh semangat,” katanya.
IGSCS berfungsi sebagai sistem kawalan tanaman automatik yang menggabungkan pengaturcaraan Arduino, Internet of Things (IoT) dan tenaga solar sebagai sumber utama.
Sistem ini dilengkapi pengesan kelembapan tanah yang mampu mengawal pengairan secara automatik. Apabila bacaan sensor menunjukkan keadaan tanah di bawah paras optimum maka sistem akan mengaktifkan pam air secara semulajadi.
Tambahnya, inovasi kajian ini tercetus selepas beliau mendapati ramai petani kecil berdepan masalah kos pengairan yang tinggi serta kekangan masa untuk mengawal tanaman secara konsisten.
“Kami mula jalankan kajian dengan petani pertengahan tahun lalu. Selepas itu, para pelajar mencuba sendiri untuk membangunkan satu sistem sebenar yang mampu memberi manfaat terus kepada masyarakat.
“Reka bentuk ini membolehkan pengguna mengawal isipadu air dalam tangki dari jarak jauh dengan menggunakan telefon pintar sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam majlis Kumpulan Perangsang Selangor (PKS) Celik initiatif 2025.
Projek ini turut mendapat bimbingan daripada pensyarah kanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Rafizah Mohd Hanifa yang memberi panduan teknikal khususnya dalam aspek pengaturcaraan dan reka bentuk sistem.
Sokongan pihak sekolah serta guru juga menjadi kunci utama kejayaan pelajar dalam menghasilkan prototaip ini.
Menurut Anizah Anuar, reka cipta IGSCS ini mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan memandangkan keperluan teknologi pintar dalam sektor pertanian semakin meningkat.
“Kami berharap prototaip ini boleh dikembangkan menjadi satu produk sebenar yang memberi manfaat kepada petani di seluruh negara dan dapat membantu mentransformasikan pertanian ke arah lebih moden, efisien dan mesra alam,” ujarnya. –UTUSAN