KENINGAU: Kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika bertugas ditemukan mati lemas di kawasan sungai Kampung Liau Laut, dekat sini, semalam.
Ketua Balai Polis dan Penyelamat (BBP) Keningau berkata, mangsa berusia 35 tahun ditemukan pukul 6.18 petang oleh Team Galen Star yang bekerjasama dengan pihak bomba dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketika ada kejadian hilang di air.
Beliau berkata, operasi SAR dimulakan pada pukul 9 pagi dengan jarak 40 kilometer (KM) radius dan dibantu Unit Dron BBP Keningau.
“Mangsa berjaya ditemukan oleh Team Galen Star dan pihak bomba mengangkat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, dalam kenyataan rasmi SESB memaklumkan, mangsa Masedeh Rosmin adalah pekerja syarikat berkenaan.
“Pihak syarikat amat berdukacita dengan kehilangan ini dan ingin merakamkan ucapan takziah serta simpati yang mendalam kepada ahli keluarga Allahyarham.
“Sabah Electricity akan memastikan segala sokongan yang sewajarnya, termasuk bantuan kebajikan dan sokongan emosi, diberikan kepada keluarga beliau,” katanya.
Syarikat SESB turut menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa dan semua agensi yang terlibat dalam operasi SAR mangsa.
“Kami turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, khususnya Team Gelen Star, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, serta rakan-rakan sekerja yang telah bertungkus-lumus sepanjang operasi pencarian,” jelasnya.
Terdahulu, mangsa dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika bertugas di Kampung Nuntunan Apin-apin, dekat sini, pada Isnin.
Dalam kejadian pukul 9.57 malam itu, mangsa bersama dua lagi rakan sekerjanya dipercayai cuba menyeberangi jambatan sebelum tiba-tiba dihanyutkan arus deras manakala dua rakannya sempat selamatkan diri. –UTUSAN










