Pejabat lama dicadang tukar jadi kediaman

Pejabat lama dicadang tukar jadi kediaman

KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat bandar raya Kuala Lumpur kini berdepan krisis serius apabila semakin banyak bangunan pejabat dibiarkan kosong, menjejaskan kedudukan ibu negara sebagai nadi ekonomi dan sosial negara.

Menurut Research for Social Advancement (REFSA), semakin banyak syarikat berpindah keluar dari blok pejabat lama ke bangunan lebih moden yang memenuhi piawaian kelestarian, sekali gus menyebabkan lambakan unit pejabat yang semakin usang tidak terguna.

Pengarah Eksekutif REFSA, Tan E Hun berkata, walaupun bangunan-bangunan ini boleh dinaik taraf menjadi pejabat baharu, pasaran semasa tidak menjamin penyewa akan kembali kerana persaingan sangat sengit.

“Daripada dibiarkan reput, lebih baik bangunan lama ini ditukar fungsi menjadi kediaman. 

“Strategi ini lebih kos efektif berbanding membina projek baharu, dan pada masa sama dapat mengurangkan pelepasan karbon,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga kini, lebih 30 juta kaki persegi ruang pejabat tidak berpenghuni direkodkan bersamaan 10 kali keluasan Menara Merdeka 118 manakala kadar kekosongan ruang pejabat di pusat bandar mencecah hampir 20 peratus. 

Situasi itu bukan sahaja menyebabkan penyusutan kadar sewaan, malah menyumbang kepada penguncupan populasi penduduk tetap.

Dalam masa sama, pasaran perumahan di pusat bandar terus dikuasai dua kelompok ekstrem melibatkan rumah lama usang yang dihuni golongan B40 serta pekerja migran dan kondominium mewah untuk golongan T20 dan ekspatriat. Tiada satu pun projek rumah mampu milik wujud di kawasan pusat.

Sehubungan itu, REFSA mencadangkan dasar penukaran pejabat lama kepada kediaman (office-to-residential conversion) dilaksanakan bagi menghidupkan semula pusat bandar.

Cadangan itu dilihat selari dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 yang menekankan pembangunan infill serta keperluan memperluas pilihan perumahan bagi golongan muda dan pekerja bandar. 

Sasaran utama ialah belia, pasangan muda serta pekerja dari luar Kuala Lumpur yang memerlukan kediaman berhampiran tempat kerja.

Antara bangunan ikonik yang dikenal pasti berpotensi ditukar fungsi ialah Menara Maybank, Imbi Plaza, Wisma New Asia, Menara Raja Laut, KH Tower, Bangunan Lee Yan Lian serta bangunan bersejarah Standard Chartered Bank.

Namun, E Hun mengakui proses itu berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan struktur bangunan, isu zon tanah, kos pengubahsuaian serta penentangan pemilik yang masih menaruh harapan kepada pasaran pejabat.

“Untuk memastikan pelaksanaan berjaya, kerajaan perlu mempertimbangkan insentif seperti pelepasan cukai, geran bandar, kerjasama awam-swasta dan pengambilalihan aset bermasalah,” katanya.

Beberapa negara maju telah membuktikan keberhasilan strategi tersebut. Chicago, Amerika Syarikat berjaya menukar pejabat kosong di LaSalle Street kepada apartmen mampu milik, manakala Singapura mengekalkan bangunan warisan dengan menjadikannya pangsapuri servis moden.

Katanya, tanpa campur tangan dasar yang jelas, pusat bandar Kuala Lumpur berisiko menjadi gugusan bangunan usang yang tidak menyumbang kepada pembangunan negara.

“Sebaliknya, jika dilaksanakan dengan teliti, strategi penukaran pejabat kepada kediaman boleh menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula pusat bandar raya sebagai pusat ekonomi, sosial dan budaya yang lebih inklusif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN