Pegawai kanan polis didakwa gagal isytihar harta

Pegawai kanan polis didakwa gagal isytihar harta

MOHD SHAHRIL ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur berhubung kes pertuduhan gagal mengisytiharkan harta, di sini hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan wang tunai, pelaburan dan aset miliknya serta keluarga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Deputi Superintenden Mohd. Shahril Abu Bakar, 41, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Shahril didakwa pada 28 Jun 2024 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya dengan sengaja mengabaikan notis untuk mengemukakan penyata bertulis berhubung wang yang dimasukkan oleh sebuah syarikat ke dalam akaun syarikat lain yang mempunyai kepentingan dengannya serta wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya oleh sebuah syarikat.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, tempat dan masa sama, tertuduh didakwa tidak mematuhi terma notis bertulis apabila gagal menyatakan cara dia memperoleh harta atas namanya sendiri dan anak-anak serta bayaran pinjaman perumahan berjumlah puluhan ribu ringgit.

Antara harta yang gagal diisytiharkan itu adalah simpanan emas digital melalui platform Public Gold seberat 716.8261 gram, pelaburan mata wang kripto berjumlah RM80,000, pelaburan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak RM39,198.48 serta pinjaman perumahan sebuah rumah di Johor Bahru bernilai RM68,000.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Azrul Zulkifli Stork.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia. 

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan kepada Mohd. Shahri iaitu melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada setiap 1 haribulan , tidak mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Oktober ini bagi sebutan semula kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN