KUALA KUBU BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pegawainya ke Thailand untuk mendapatkan maklumat berhubung penahanan seorang rakyat Malaysia membawa senjata api perang jenis M4 dan ratusan butir peluru di dalam kereta dipandunya di Sadao, Songkhla, Thailand pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, usaha mendapatkan maklumat lanjut giat dilakukan mengenai dakwaan mengatakan suspek mahu membawa semua senjata api perang itu ke Malaysia.
Katanya, daripada hasil siasatan yang dilakukan nanti pihaknya akan dikembangkan bagi mengenal pasti organisasi atau sindiket yang terlibat dengan suspek.
“Setakat ini, memang dia seorang sahaja yang ditahan. Insya-Allah kita akan dapat maklumat-maklumat berkaitan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Program Diploma Kepolisan (MQA) dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (JPK) Polis Diraja Malaysia di Auditorium, Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu.
Dalam pada itu, Mohd Khalid memberitahu, siasatan juga dijalankan sama ada kenderaan dinaiki dibawa masuk dari negara ini atau sebaliknya.
“Kita masih lagi menyiasat perkara ini. Kita pun tidak tahu (tiada maklumat) bagaimana pergerakan (keluar masuk).
“Tapi secara biasa di sempadan memang keluar masuk itu agak biasa terutama di kalangan ahli perniagaan dan pihak tertentu yang mempunyai urusan,” jelasnya.
Mohd. Khalid berkata, kawalan keselamatan di semua pintu sempadan sememangnya diperketatkan dari semasa ke semasa
“Rondaan juga akan dijalankan di sempadan. Apa yang berlaku ini adalah dakwaan pihak berkaitan. Insya-Allah kita punya sempadan masih lagi terkawal,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, senjata api dirampas daripada suspek berusia 46 tahun itu dipercayai dibeli di Thailand untuk diseludup masuk ke negara ini.
Lelaki berkenaan ditahan pihak berkuasa Thailand bersama senjata api perang jenis M4 dan ratusan butir peluru dalam kereta yang dipandunya.
Pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Kia bernombor pendaftaran Malaysia itu menemukan dua laras raifal M4; 300 butir peluru kaliber 5.56 mm; tujuh magazin peluru 5.56 mm; 100 butir peluru kaliber .45 mm dan 50 butir peluru kaliber 9 mm. – UTUSAN










