Pas tak pernah kekal lama dalam mana-mana gabungan - Rafizi - Utusan Malaysia

Pas tak pernah kekal lama dalam mana-mana gabungan – Rafizi

rafizi
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas tidak pernah mempunyai rekod kekal lama dalam mana-mana gabungan politik, justeru perselisihan yang tercetus dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung isu dana politik bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli berkata, PKR dan DAP yang pernah bersama Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) juga melalui pengalaman serupa sebelum ini.

“Pas biasanya sampai ke satu tahap akan merasakan kekuatan dan pengaruh mereka mengatasi semua, lalu menganggap pihak lain sudah tidak penting.

“Semua yang pernah bekerjasama dengan Pas akan lalui perkara ini. Sekarang giliran Bersatu pula,” katanya menerusi audio siar (podcast) Yang Berhenti Menteri, malam tadi.

Semalam, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menegaskan komitmen partinya terhadap Perikatan Nasional (PN), susulan perselisihan dengan Bersatu berhubung isu pembiayaan pilihan raya.

Ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Kedah baru-baru ini, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor seolah-olah menyindir Bersatu kerana didakwa terlalu bergantung kepada jentera Pas dalam pilihan raya.

Kenyataan itu dibalas bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Marzuki Mohamad yang menegaskan Bersatu turut menanggung kos Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, perbelanjaan itu menjadi faktor besar kepada kejayaan Pas meraih 43 kerusi Parlimen iaitu jumlah terbesar dalam sejarah parti itu.

Mengulas perkara itu, Mohd. Rafizi berkata, beliau tidak menolak kenyataan Marzuki berdasarkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Bersatu pada 2023 termasuk pembekuan dan rampasan akaun bank parti itu.

“Saya tidak terkejut kalau Bersatu kata mereka beri dana kepada Pas. Tetapi sekarang mungkin Pas rasa sudah cukup kuat dan tidak lagi memerlukan Bersatu,” katanya.

Rafizi turut menyindir bahawa pemimpin Bersatu tidak perlu berdepan kes mahkamah berkaitan program Jana Wibawa sekiranya tidak menyalurkan dana kepada Pas pada PRU15.

Jana Wibawa diperkenalkan ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, namun kemudiannya dikaitkan dengan pertuduhan salah guna kuasa serta pengubahan wang haram terhadap beliau.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan turut didakwa atas kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram.

Bulan lalu, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad dilepas dan dibebaskan daripada 12 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram selepas membayar kompaun RM4.1 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN