Pas dituduh tamak selepas mahu ketuai PN

Pas dituduh tamak selepas mahu ketuai PN

TIS 2023
MOHD. NOR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas terus berdepan pelbagai sindiran selepas menyatakan hasrat untuk memimpin Perikatan Nasional (PN) apabila parti itu dilabel sebagai tidak tahu bersyukur, tamak, sombong, tidak menghormati rakan kerjasama dan tidak mampu menang tanpa sokongan gabungan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd. Nor Hamzah berkata, tuduhan tersebut hanya persepsi negatif yang cuba dicetuskan bagi menjejaskan imej Pas, sedangkan hasrat itu sekadar untuk memperkukuh gabungan PN.

“Sejak Pas menyuarakan hasrat untuk memimpin PN, pelbagai sindiran dan kritikan dilemparkan. Namun hakikatnya, Pas hanya menyatakan hasrat itu demi memperkukuh gabungan, tidak lebih daripada itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata, Pas sebelum ini menerima kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN, maka tidak salah jika kali ini Pas diberi peluang untuk menerajui gabungan.

“Bukankah kerjasama itu sifatnya saling melengkapi? Kemenangan Bersatu juga tidak boleh dipisahkan daripada pertolongan dan sokongan jitu Pas. Kita berjuang bersama, kita menang bersama,” katanya.

Mohd. Nor berkata, Pas memiliki kekuatan tersendiri untuk dipertimbangkan sebagai peneraju PN termasuk jumlah kerusi yang lebih banyak berbanding rakan gabungan, keahlian parti yang besar di peringkat akar umbi serta barisan kepimpinan berpengalaman.

“Pas bukanlah tamak atau sombong, sebaliknya langkah rasional berasaskan kekuatan semasa demi memastikan PN kekal kukuh serta kepimpinan negara lebih stabil dan berwibawa.

“Hasrat Pas ini tidak lain hanya untuk memastikan gabungan lebih utuh dan terus dihormati, bukan untuk merebut kuasa semata-mata,” katanya.

Muktamar Tahunan Pas ke-71 semalam meluluskan lima usul sempena persidangan itu termasuk penegasan bahawa parti itu bukan sahaja layak tetapi wajib menerajui PN.

Resolusi tersebut diumumkan lulus oleh Pengerusi Tetap, Hussin Ismail selepas mendapat persetujuan semua perwakilan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN