PETALING JAYA: Pameran Perkahwinan Malaysia yang bakal berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa bermula Jumaat ini bakal mengangkat warisan perkahwinan enam etnik utama di negara.
Program pameran yang merupakan sebahagian daripada Festival Budaya Malaysia 2025 itu akan mengetengahkan budaya warisan perkahwinan etnik Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan Dusun dan Siam.
Pengunjung berpeluang melihat sendiri keunikan majlis perkahwinan, pakaian pengantin dan barangan hantaran tradisional yang menjadi simbol adat dan identiti setiap komuniti.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pameran itu dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang meraikan kepelbagaian warisan budaya negara.
“Setiap budaya yang kita warisi adalah cerminan nilai dan jati diri bangsa. Apabila kita saling memahami, menghormati dan menerima perbezaan, maka lahirlah keharmonian yang menjadi kekuatan sebenar Malaysia.
“Inilah semangat Malaysia Madani yang harus terus kita semarakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penganjuran pameran ini diharap bukan sahaja memberi pengalaman unik kepada pengunjung, tetapi juga menanam rasa kebersamaan, mengukuhkan persefahaman, dan memperteguh ikatan rakyat pelbagai kaum demi pembinaan negara bangsa yang harmoni dan sejahtera. – UTUSAN










