P.Pinang: 125 tan sekerap logam bernilai RM5.29 juta dirampas

P.Pinang: 125 tan sekerap logam bernilai RM5.29 juta dirampas

ROHAIZAD Ali (tengah) menunjukkan sebahagian daripada sekerap logam yang dirampas ketika sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Kastam Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas lebih 125 tan sekerap logam menerusi satu pemeriksaan yang dijalankan terhadap lima kontena di Pelabuhan Butterworth Utara (NBCT) di sini pada 22 Julai lalu.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Rohaizad Ali berkata, siasatan awal mendapati bahawa borang kastam untuk barangan terbabit telah diikrarkan sebagai komponen elektronik terpakai.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai sekerap logam yang bernilai lebih RM5.29 juta dalam kelima-lima kontena berkenaan.

“Untuk pengetahuan, sekerap logam yang diimport telah diklasifikasikan sebagai barang larangan import dan tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan oleh SIRIM Berhad seperti digariskan mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Penguatkuasan Kastam di Bagan Jermal di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rohaizad memberitahu, tiga individu yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 40 hingga 60 tahun yang dipercayai pemilik syarikat serta ejen turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kita percaya logam ini diimport dari Thailand, namun, siasatan lanjut masih dijalankan buat masa ini,” katanya.

Dalam kes berasingan, Rohaizad berkata, sejumlah 438,824 batang rokok dan 1,377.6 liter minuman keras pelbagai jenama dirampas hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Padang Serai, Kedah pada awal bulan lalu.

Beliau berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan pegawai dari Unit Operasi, Penguatkuasaan Pulau Pinang hasil risikan selepas mendapati premis tersebut telah dijadikan stor untuk penyimpanan barang larangan terbabit.

“Hasil pemeriksaan, kesemua barangan larangan itu dianggarkan bernilai RM168,395 dan melibatkan duti kira-kira berjumlah RM366,444,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua kes itu kini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN