Niat bercuti sekeluarga tidak kesampaian, wanita maut kemalangan - Utusan Malaysia

Niat bercuti sekeluarga tidak kesampaian, wanita maut kemalangan

KEADAAN kenderaan yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Kampung Sungai Ikan, Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hasrat sebuah keluarga dari Pulau Pinang untuk bercuti di Terengganu berakhir tragedi apabila seorang wanita maut manakala empat lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Kampung Sungai Ikan, dekat sini, hari ini.

Mangsa, Rohani Hashim, 62, yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.22 tengah malam ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu.

Menurut beliau, SUV yang dipandu Ain Syafawati Abdullah, 39, dari arah Pulau Pinang sedang bergerak lurus di laluan kiri sebelum sebuah Naza Citra dari arah bertentangan tiba-tiba memasuki laluan mereka.

“Kenderaan itu berpusing lalu melintang di jalan menyebabkan pertembungan tidak dapat dielakkan. Proton Saga dari arah belakang pula cuba mengelak namun tetap bergesel pada bahagian sisi Naza Citra,” katanya.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, Rohani meninggal dunia di tempat kejadian manakala Ain Syafawati bersama anak perempuannya berusia 12 tahun dan seorang lelaki warga emas berumur 70 tahun mengalami kecederaan.

Seorang lagi penumpang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bagaimanapun terselamat,

“Pemandu Naza Citra turut cedera manakala pemandu Proton Saga bersama isteri dan tiga anak mereka tidak mengalami kecederaan,” jelasnya.

Ujarnya, kesemua mangsa yang cedera kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala mayat Rohani dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.

Azli berkata, siasatan di lokasi mendapati laluan berkenaan merupakan jalan negeri dua lorong dua hala dalam keadaan lurus dan semua kenderaan terlibat rosak teruk pada bahagian hadapan.

“Kenderaan tersebut sudah dihantar ke Puspakom dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati terutama pada waktu malam bagi mengelakkan kemalangan yang meragut nyawa seperti ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN