MOT peruntuk RM3.5 juta untuk Lindung Kendiri hasil bidaan NPI

MOT peruntuk RM3.5 juta untuk Lindung Kendiri hasil bidaan NPI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Kementerian Pengangkutan (MOT) memperuntukkan RM3.5 juta untuk Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Lindung Kendiri) tahun ini dengan menggunakan hasil bidaan daripada Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI).

Menterinya, Anthony Loke berkata, inisiatif berkenaan memanfaatkan 35,000 pemandu teksi dan pemandu kereta sewa selain 15,000 pemandu bas seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, ketika ini, kerajaan membiayai kira-kira 70 peratus caruman tersebut manakala selebihnya ditanggung sendiri oleh pencarum.

“Peruntukan RM3.5 juta ini sebenarnya bukanlah diperuntukkan oleh Kementerian Kewangan kepada MOT kerana apa sahaja peruntukan yang kita guna adalah daripada bajet tahunan.

“Tetapi, dalam belanjawan tahunan kita, tiada pun item ini, tiada peruntukan untuk tujuan ini. Namun, kita fikirkan cara untuk tampung RM3.5 juta ini iaitu wang ini adalah hasil daripada penjualan bidaan NPI,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Pusat Dialisis Perkeso Cawangan Seberang Jaya dan Penyampaian Tajaan Lindung Kendiri di Pejabat Perkeso di sini hari ini.

Tambahnya, pertambahan peruntukan daripada RM1.165 juta pada tahun lalu kepada RM3.5 juta tahun ini berfungsi sebagai platform bagi memperhebat kesedaran golongan pekerja sendiri akan kepentingan perlindungan sosial.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim turut merakamkan penghargaan kepada MOT susulan kerjasama memberikan caruman percuma kepada 50,000 pemandu di seluruh negara yang kini memasuki tahun kedua.

“Terima kasih kepada MOT dan saya nak minta supaya rakan-rakan pemandu kita ada kesedaran ini sebab kadang-kadang, kita dah tolong untuk buat claim (tuntutan) tetapi, mereka tidak tahu bahawa dia adalah pencarum, malah berlaku bencana atau kemalangan sekalipun, dia tidak tahu dia pencarum serta tidak tuntut,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN