PUTRAJAYA: Penubuhan Suruhanjaya Halal Malaysia sebagai badan penyelaras tunggal antara cadangan transformasi yang dikemukakan dalam Resolusi Strategik Halal hasil Persidangan Penyelidikan & Pendidikan Halal Antarabangsa Malaysia (MIHREC) 2025, anjuran Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM).
Resolusi berkenaan diserahkan kepada Kerajaan Malaysia dan The Standards and Metrology Institute for Islamic Countries (SMIIC) sebagai satu detik penting yang memperkukuh peranan Malaysia sebagai pusat rujukan halal global dan penggerak utama agenda halal dunia.
Antara cadangan transformasi lain yang dikemukakan dalam resolusi ini ialah mewujudkan perundangan bagi mengawal selia industri halal serta transformasi digital ekosistem halal melibatkan proses pensijilan dan kebolehjejakan rantaian bekalan.
Ini termasuk pemerkasaan Badan Profesional Halal bagi mengiktiraf dan meningkatkan standard profesional dalam industri.
Resolusi yang dibentangkan adalah sintesis pertama seumpamanya hasil gabungan Kajian Literatur Sistematik, Tinjauan Strategik, serta perbincangan kumpulan fokus dengan pemegang taruh utama.
Analisis tersebut mengenal pasti enam domain kritikal, antaranya cabaran tadbir urus, kekangan akses pasaran global, jurang teknologi dan inovasi, serta keperluan mendesak dalam pembangunan bakat profesional halal.
Bertemakan “Driving Global Halal Innovation Towards Responsible Technology, Societal Wellbeing, and Regulatory Compliance”, MIHREC 2025 menghimpunkan lebih 200 peserta terdiri daripada penyelidik, ahli akademik, pemain industri dan penggubal dasar dari dalam serta luar negara.
Persidangan dua hari itu berlangsung di Putrajaya pada 21 dan 22 September lalu bersempena sambutan 20 tahun IPPH sebagai institut penyelidikan halal terawal di Malaysia dan merupakan sebahagian daripada Global Halal Summit (GHaS) 2025 yang telah dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Pengarah IPPH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur MIHREC 2025, Prof. Dr. Awis Qurni Sazili, resolusi ini bukan sekadar rangkuman pandangan, tetapi juga cadangan inisiatif berasaskan data untuk pelan tindakan sewajarnya.
Ia selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Halal Industry Master Plan 2030 (HIMP2030) dan New Industrial Master Plan 2030 (NIMP2030).
“Jika dilaksanakan, Malaysia berpotensi menjadi pusat rujukan global halal yang disegani,” katanya.
Resolusi ini turut menyokong peranan SMIIC sebagai penyelaras dan pemacu utama dalam mengukuhkan industri halal di seluruh negara anggota OIC.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, MIHREC 2025 bukan sekadar meraikan pencapaian penyelidikan halal, sebaliknya memperkukuh tekad kolektif untuk memacu industri halal ke masa depan yang berasaskan inovasi, tanggungjawab dan kesejahteraan global.
“Penyerahan Resolusi MIHREC 2025 ini membuktikan bagaimana idea serta komitmen bersama dapat diterjemahkan menjadi panduan tindakan untuk pemegang taruh di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Beliau menambah, Malaysia bersama rakan strategik antarabangsa kini bersedia memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang bagi memperkasakan ekosistem halal global.
“UPM melalui Institut Penyelidikan Produk Halal akan terus memacu penyelidikan dan inovasi yang memberi impak bukan sahaja kepada ekonomi negara tetapi juga kepada keterjaminan makanan negara dan kesejahteraan masyarakat sejagat,” jelasnya.-UTUSAN