Permohonan semakan hukuman ditolak, bekas ADUN Tronoh kekal dipenjara

Permohonan semakan hukuman ditolak, bekas ADUN Tronoh kekal dipenjara

PAUL YONG CHOO KIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong untuk mendapatkan kebenaran menyemak keputusan hukuman penjara dan sebatan atas kesalahan merogol pembantu rumahnya, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah mencapai keputusan sebulat suara selepas mendengar alasan permohonan yang dikemukakan oleh peguam bela Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili pemohon.

Turut bersidang, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali serta Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Pihak pendakwaan pula diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim.

Hakim Hashim berkata, permohonan semakan itu dibuat di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 yang memperuntukkan semakan hanya boleh dibenarkan atas alasan yang sangat terhad.

Dalam kes itu, katanya, pemohon bergantung kepada prinsip keadilan asasi bagi menyokong permohonan semakan tersebut.

“Sehubungan itu, mahkamah mendapati tiada pelanggaran terhadap prinsip keadilan asasi. Kami mendapati permohonan ini tidak memenuhi ambang yang tinggi di bawah Kaedah 137. Oleh demikian, permohonan ini ditolak,” katanya.

Oktober tahun lalu, Choo Kiong memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lapan tahun serta sebatan yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan merogol pembantu rumah, pada 2019.

Menurut Hisyam, notis usul yang difailkan mengikut Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 itu memohon semakan serta perintah untuk mengetepikan keputusan terdahulu oleh Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap anak guamnya.

Choo Kiong, 56, mula menjalani hukuman pada 1 Oktober, tahun lalu, setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya serta mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Pada 22 Julai 2022, Mahkamah Tinggi mendapati bekas wakil rakyat itu bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia, ketika kejadian berusia 23 tahun, di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh, antara pukul 8.15 dan 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Choo Kiong, namun Mahkamah Rayuan pada Mac 2024 mengurangkan hukuman terbabit kepada lapan tahun tetapi mengekalkan dua sebatan itu.

Dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan akhir tertuduh, Mahkamah Persekutuan berpendapat bahawa mangsa merupakan saksi yang berwibawa dan meyakinkan.

Mahkamah telah berpuas hati dengan keterangan mangsa serta menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi telah bertindak tepat apabila menerima keterangannya sebagai asas kepada sabitan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×