MIC perlu kekal dalam BN, jangan buka ruang kepada musuh

MIC perlu kekal dalam BN, jangan buka ruang kepada musuh

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIC diminta supaya terus memperkukuh kesepakatan dalam Barisan Nasional (BN) dan tidak membuka ruang kepada mana-mana pihak luar yang pernah meninggalkan gabungan itu ketika berdepan saat sukar.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, MIC dan parti komponen lain perlu bersama-sama membina kembali kekuatan BN secara kolektif demi memastikan gabungan itu kembali menjadi wadah politik yang kuat dan dihormati.

“Langkah itu (kehadiran Perhimpunan Bersatu) telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakan-rakan komponen BN khususnya UMNO, memandangkan hubungan antara BN dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai sejarah serta cabaran tersendiri.

“Jemputan Bersatu kepada parti-parti komponen BN untuk hadir ke perhimpunan mereka jelas mempunyai implikasi tertentu yang boleh menjejaskan perpaduan dalam BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) sayap Armada Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam baru-baru ini.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Pahang berkata, UMNO sentiasa konsisten mengutamakan semangat setiakawan dalam BN dan sering mempertahankan kedudukan MIC termasuk di negeri-negeri di mana UMNO mempunyai kedudukan lebih baik.

“Oleh itu, saya menyeru agar MIC bersama-sama UMNO dan parti komponen lain untuk terus memperkukuh BN, membina kembali kekuatan kita secara kolektif serta tidak memberi ruang kepada pihak luar yang pernah meninggalkan kita ketika berdepan waktu sukar.

“Percayalah, hanya dengan semangat muafakat dan kebersamaan, BN akan kembali menjadi wadah yang kuat dan dihormati,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN