MIC perlu berhati-hati dalam tindakan

MIC perlu berhati-hati dalam tindakan

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: MIC seharusnya lebih berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan yang boleh mengundang tafsiran berbeza, khususnya dalam konteks hubungan antara parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, UMNO sentiasa konsisten mengutamakan semangat setiakawan dalam BN. 

Malah, katanya, di negeri-negeri yang mana UMNO mempunyai kedudukan lebih baik seperti di Pahang, MIC tetap diberikan tempat sewajarnya dan sering dipertahan atas dasar kebersamaan.

“Oleh itu, saya menyeru agar MIC bersama-sama UMNO dan parti komponen lain untuk terus memperkukuh BN, membina kembali kekuatan kita secara kolektif serta tidak memberi ruang kepada pihak luar yang pernah meninggalkan kita ketika berdepan waktu sukar.

“Percayalah, hanya dengan semangat muafakat dan kebersamaan, BN akan kembali menjadi wadah yang kuat dan dihormati,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pemuda MIC, K. Kesavan dilaporkan menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dikatakan sebagai wakil parti selepas menerima jemputan secara rasmi

Kehadiran Kesavan itu mencetuskan tanda tanya selepas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui pernah mengadakan pertemuan dan perbincangan secara tidak rasmi dengan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC berhubung penyertaan mereka dalam PN.

Malah, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran sebelum ini dilaporkan turut menyatakan kesediaan membuka ruang perbincangan dengan mana-mana parti lain demi kelangsungan dan masa depan MIC.

Wan Rosdy berkata, tindakan MIC melalui Kesavan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakan-rakan komponen BN, khususnya UMNO memandangkan hubungan antara BN dan Bersatu pada hakikatnya mempunyai sejarah serta cabaran yang tersendiri.

“Jemputan Bersatu kepada parti-parti komponen BN untuk hadir ke perhimpunan mereka jelas mempunyai implikasi tertentu yang boleh menjejaskan perpaduan dalam BN,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN