MELAKA: Jumlah penghidap diabetes di Melaka adalah kedua tertinggi di Malaysia iaitu mencatat 20.5 peratus diikuti 29.5 peratus (hipertensi) dan 33.5 peratus (kolesterol tinggi).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, angka tersebut bukan sekadar data semata-mata, tetapi satu peringatan bahawa isu keselamatan makanan dan pemakanan sihat perlu diberi perhatian serius.
Beliau berkata, hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati, 2.5 peratus golongan dewasa di Malaysia menghidap empat penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti yang berkait rapat dengan corak pemakanan serta gaya hidup.
“Ia menuntut tindakan bersama yang lebih sistematik, berasaskan sains dan berpaksikan tanggungjawab kolektif agar kesihatan rakyat dapat dilindungi.
“Justeru, agenda penambahbaikan berterusan perlu digerakkan secara menyeluruh dengan tumpuan khusus kepada peningkatan kesedaran dan literasi makanan untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat serta menjamin masa depan generasi akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri di Kompleks CMI, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 60 pengusaha makanan di negeri itu menerima pelbagai pensijilan dan pengiktirafan di bawah Program Keselamatan dan Kualiti Makanan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam pada itu, Hee Sem berkata, kes keracunan makanan di Melaka menunjukkan penurunan sebanyak 30 peratus apabila hanya empat kes direkodkan setakat ini berbanding 12 kes pada 2024.
Menurutnya, kes keracunan makanan di Malaysia turut menunjukkan penurunan bagi tempoh Januari hingga September dengan merekodkan 53.4 peratus bersamaan 339 kes.
Beliau berkata, sehingga Julai lalu, sebanyak 237 premis makanan di Melaka menerima pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS). – UTUSAN










