MCMC diminta teliti permohonan tambahan titik akses WiFi

MCMC diminta teliti permohonan tambahan titik akses WiFi

FAHMI Fadzil (tengah) ketika melakukan tinjauan capaian WiFi di Politeknik Seberang Perai (PSP), Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta meneliti permohonan untuk menambah titik akses WiFi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dikemukakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan pelajar dapat menikmati capaian internet lebih baik.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan laporan yang telah diberikan kepada Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) baru-baru ini, lebih 34,000 titik akses telah siap dipasang di hampir kesemua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.

“Jadi, pihak KPT ada memohon sejumlah ‘access point’ (titik akses) tambahan untuk tujuan itu. Sesetengah kampus dalam fasa pertama dan kedua, mereka tidak memasukkan permohonan ini (pemasangan titik akses). tetapi, apabila mereka lihat kampus-kampus yang telah berjaya, jadi, mereka pun ingin turut bersama.

“Oleh itu, saya minta supaya pihak MCMC meneliti permohonan tersebut dan kita cuba untuk laksanakan segera. Bagaimanapun, jumlah permohonan untuk pemasangan berkenaan masih belum dapat disahkan kerana kita masih perlu lakukan kajian teknikal secara terperinci terhadap lokasi-lokasi kampus terbabit,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan bagi meneliti kemudahan WiFi di Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan, terdapat 554 titik akses bagi kemudahan WiFi yang dipasang di kampus terbabit dan beliau berpuas hati dengan tahap kelajuan WiFi tersebut iaitu sekitar lebih 300 megabait per saat (Mbps).

“Kalau sebelum ini, terutama di residensi (kawasan penempatan), pelajar yang mungkin tinggal di tingkat-tingkat yang lebih tinggi tidak dapat kemudahan WiFi. Tapi, sekarang kita telah sediakan untuk hampir setiap bilik.

“Jadi mereka boleh melakukan sama ada tugasan, kerja-kerja kajian dan ulangkaji dengan sangat-sangat mudah. Apatah lagi WiFi yang kita sediakan sekarang ini menggunakan WiFi 7 iaitu antara peranti WiFi yang terbaharu dan berfungsi tanpa sebarang masalah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN