KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli mengakui berdepan cabaran besar apabila namanya tercalon bagi perebutan jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat sempena pemilihan parti itu pada Muktamar Pas Ke-71 di Kedah bermula 11 September ini.
Mohd Shukri berkata, beliau menerima untuk bertanding jawatan berkenaan bagi menghormati kawasan-kawasan yang telah mencalonkan namanya sebelum ini.
“Saya bertanding AJK Pas Pusat, saya terima pencalonan itu. Kalah atau menang kita tunggu dan lihat. Saya masuk bertanding sebab menghormati kawasan-kawasan yang mencalonkan saya sehingga cukup 20 kawasan,” katanya di sini hari ini.
Selain Mohd. Shukri, dua lagi Menteri Besar iaitu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor (Kedah) dan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud (Kelantan) turut bertanding jawatan itu.
Muhammad Sanusi yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon berpotensi ke kerusi Naib Presiden Pas menolak pencalonan tersebut buat kali ketiga berturut-turut.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bagi jawatan AJK Pas Pusat, 30 calon sebelum ini mengesahkan akan bertanding bagi merebut 18 tempat yang disediakan.
Pada pemilihan Pas Kawasan Arau sebelum ini, Mohd. Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas negeri tewas dalam perebutan jawatan Yang Dipertua (YDP) apabila hanya meraih 43 undi berbanding penyandang, Solahudin Azmi yang memperoleh 128 undi.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, pencalonan bagi jawatan tersebut juga merupakan satu tugas berat yang perlu dipikul olehnya sekiranya terpilih kelak. – UTUSAN








