Mayat wanita ditemukan bersama motosikal dalam parit - Utusan Malaysia

Mayat wanita ditemukan bersama motosikal dalam parit

MAYAT wanita yang ditemukan bersama motosikal dalam parit di Rantau Panjang di Larut hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Mayat seorang wanita dipercayai warga emas yang dilaporkan hilang pada 8 September lalu ditemukan bersama sebuah motosikal di dalam parit di Kampung Tanjung Lengkong, Rantau Panjang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat tersebut pada pukul 11.45 pagi daripada seorang operator jengkaut yang smelakukan kerja-kerja pembersihan bahu jalan di kawasan berkenaan.

“Ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan, pengadu ternampak sebuah motosikal di dalam parit. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat mayat manusia dalam keadaan reput berhampiran motosikal berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sarudin, semakan terhadap rekod pendaftaran mendapati motosikal itu didaftarkan atas nama seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang pada 8 September lalu.

“Bagaimanapun, pihak polis masih menunggu pengesahan identiti daripada pihak forensik sebelum dapat disahkan sama ada mayat berkenaan adalah individu yang sama.

“Bedah siasat akan dijalankan esok di Unit Forensik Hospital Selama,” katanya

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga keputusan forensik diperoleh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN