Masalah tak selesai kalau saya tarik tuntutan cerai - Nora Ariffin - Utusan Malaysia

Masalah tak selesai kalau saya tarik tuntutan cerai – Nora Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 52, tetap dengan keputusannya untuk menuntut cerai terhadap suami, Dr. Rushdi Ramli meskipun proses tersebut terus berpanjangan dan belum menemui titik pengakhiran.

Menurut Nora, beliau yakin hanya cara itu sahaja yang dapat menamatkan isu pergolakan rumah tangga beliau yang berpunca daripada campur tangan pihak ketiga yang merupakan salah seorang anak Dr. Rushdi.

“Jika saya tarik tuntutan cerai ini pun, masalah tak akan selesai. Apa pun saya kena cari juga jalan penyelesaiannya.

“Saya yakin pihak mahkamah akan membuat keputusan yang terbaik. Saya ikut sahaja prosedur yang ditetapkan.

“Insya-Allah, tidak mengapa kalau proses perceraian ini ambil masa lama untuk diselesaikan. Yang penting kedua-dua pihak beroleh jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling, selepas sesi sebutan laporan wakil hakam, pagi tadi.

Nora ditemani anak sulungnya, Mohd. Syakir Iman Johan, 32, yang dilantik sebagai wakil hakam.

Hakim telah melanjutkan prosiding tuntutan perceraian penyanyi tersebut kepada 21 Oktober ini selepas tidak berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan majlis tahkim hakam yang dikemukakan pada sesi pagi tadi.

“Kami sudah cuba yang terbaik. Hakim bagaimanapun tidak berpuas hati dengan alasan serta sebab-sebab (tuntutan cerai) yang telah dikemukakan.

“Disebabkan itu, hakim telah melanjutkan prosiding kepada 21 Oktober ini untuk melantik hakam islah yang terdiri daripada panel mahkamah.

“Selepas itu proses akan diteruskan dengan adanya perbincangan membabitkan tiga pihak. Kami berharap selepas itu akan ada jalan penyelesaian,” kata Mohd. Syakir.

Mohd. Syakir dalam masa yang sama berharap panel mahkamah yang bakal dilantik sebagai hakam islah nanti menemukan jalan penyelesaian terbaik terhadap kes perceraian ibunya.

“Saya tidak nampak sebarang masalah antara ibu saya dan suaminya. Malah Dr. Rushdi pun menjaga dan menjalankan tanggungjawabnya.

“Cuma, campur tangan pihak ketiga itu, walaupun tidak setiap hari, tetap memberi kesan negatif kepada ibu saya.

“Kalau perkahwinan ibu saya dapat diselamatkan, Alhamdulillah. Jika jodoh tak panjang, kita terima sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, peguam mewakili Dr. Rushdi, Azmi Mohd. Rais memaklumkan pihaknya akan mencadangkan kepada panel hakam islah yang dilantik selepas ini untuk memanggil pihak ketiga tersebut untuk hadir ke sesi perbincangan yang akan diadakan selepas 21 Oktober ini.

“Memang cadangan itu kami kemukakan untuk menyelamatkan rumah tangga anak guam saya.

“Sekiranya berlaku perdamaian, Insya-Allah, plaintif pun bolehlah menarik balik permohonan cerai. Kita tunggu dan lihat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Rushdi mengulangi pendiriannya untuk tidak melepaskan Nora dan bertekad untuk mencari jalan selain penceraian untuk menyelamatkan rumah tangganya.

“Sehingga hari ini, Nora masih isteri saya yang sah. Saya akan terus berusaha mempertahankan perkahwinan kami.

“Pada masa sama, saya juga akan mencari perdamaian, menamatkan semua salah faham dan kekeliruan yang masih berlaku. Saya mohon doa daripada semua,” kongsinya.

Nora, pada 2021 mengesahkan dirinya sah bergelar isteri kepada Dr. Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul di sebuah universiti di ibu negara.

Penyanyi lagu Hanyalah Satu itu pada Ogos tahun lepas mengejutkan ramai pihak apabila berkongsi video di Instagram memaparkan suaminya melafazkan cerai.
Namun pasangan itu kembali rujuk sebulan kemudian.

Rumah tangga Nora kembali diperkatakan apabila beliau sekitar Mac tahun ini memfailkan permohonan cerai terhadap Dr. Rushdi atas alasan tidak dapat meneruskan perkahwinan kerana campur tangan pihak ketiga.

Prosiding tuntutan perceraian penyanyi itu memasuki fasa pelantikan wakil hakam islah pada 2 September lepas dengan Nora melantik anaknya, Mohd. Syakir sebagai wakil hakamnya, sementara Dr. Rushdi melantik anaknya, Dr. Muhammad Shakir, 34.

Nora sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. Namun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN