KANGAR: Pelantikan Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Ahmad Ali sebagai Pesuruhjaya Pas Perlis yang baharu dapat meredakan dan mengharmonikan keadaan dalaman parti itu di negeri ini.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pelantikan tersebut juga dapat memberi peluang kepada beliau bersama Ahmad untuk lebih fokus terhadap bidang tugas masing-masing.
Katanya, beliau akan lebih menumpukan kepada pentadbiran kerajaan negeri manakala Ahmad pula menguruskan parti.
“Pesuruhjaya baharu ini adalah ilmuan agama hebat dan politikus hebat juga, jadi saya rasa dia dapat redakan keadaan dan ringankan tugas saya juga yang sebelum ini menjadi MB (Menteri Besar) dan PJ (Pesuruhajaya Pas).
“Jadi sekarang saya akan dapat lebih fokus kepada pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Ahmad dilantik menggantikan Mohd. Shukri sebagai Pesuruhjaya Pas negeri dalam usaha mengimbangi parti dan pentadbiran kerajaan.
Sementara itu. Mohd. Shukri berkata, buat masa ini, beliau masih memegang jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri memandangkan ia masih belum diputuskan.
“Buat masa sekarang saya masih Pengerusi PN negeri kerana ia belum diputuskan lagi dalam Mesyuarat Tertinggi PN,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, seperti kelaziman, sebarang keputusan yang dibuat selepas ini akan dirujuk kepada Pesuruhjaya Pas negeri, Pengerusi Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis dan Pengerusi PN.
Katanya, beliau juga berharap pentadbiran kerajaan negeri dan urusan parti pada kali ini dapat berlangsung dengan baik dan harmoni.
“Harapan saya cukup tinggi agar kita sama-sama dapat harmonikan kembali pentadbiran dan urusan parti,” katanya. – UTUSAN










