Treler rempuh kereta ketika buat pusingan-U

Treler rempuh kereta ketika buat pusingan-U

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah kereta yang diparkir di bahu Jalan Hospital Sungai Buloh dekat sini dirempuh treler yang cuba membuat pusingan-U, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3.40 petang itu, tiada kecederaan dilaporkan namun kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan. 

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, treler dari Klang itu dalam perjalanan ke sebuah kilang di Sungai Buloh sebelum tersilap memasuki jalan.

“Pemandu berkenaan cuba membuat pusingan-U dan ketika mengundur, treler terbabit melanggar sebuah kereta jenis Proton Saga FL yang diparkir di bahu kiri jalan.

“Pemandu treler dan pemilik kereta berkenaan hadir membuat laporan polis di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada hari sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian itu tular di media sosial selepas rakaman kamera papan pemuka kenderaan berdurasi satu minit 32 saat memaparkan treler berkenaan cuba membuat pusingan-U, sebelum mengundur dan melanggar kereta yang diparkir di bahu jalan.

Kenderaan berat itu membuat pusingan-U di laluan masuk ke simpang dengan papan tanda larangan membuat pusingan-U.

Mohd. Hafiz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Sungai Buloh, Sarjan Azizul Azrin Bahro di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan IPD Sungai Buloh di talian 03-61561222 bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN