KUALA LUMPUR: Malaysia berada di barisan hadapan dalam usaha memodenkan sistem audit negara.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Md Radzi justeru menyeru komuniti audit dalaman di seluruh dunia agar bangkit bersama menghadapi cabaran era ‘polikrisis’ (krisis besar serentak atau bertindih) yang semakin mencabar.
Beliau berkata, juruaudit bukan hanya berperanan untuk menilai masa lalu, tetapi membentuk masa depan, memperkukuh kepercayaan, melindungi sumber awam dan membina institusi yang berdaya tahan.
“Jabatan Audit sedang menjalani transformasi menyeluruh, menjadikan fungsi audit bukan sekadar alat pengawasan, tetapi juga panduan ke hadapan.
“Audit kini digerakkan untuk menjangka risiko, mengesan ketidakteraturan lebih awal serta mendorong penambahbaikan berterusan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan pengurusan dana awam,” katanya semasa Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman 2025 (ACIIA) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Persidangan itu dihadiri lebih 15,000 juruaudit dalaman dari 26 negara.
Wan Suraya berkata, pemodenan audit turut digerakkan melalui inovasi digital, yang kini menjadi teras dalam reformasi sektor itu seperti Alat Audit Kendiri Digital yang memperkasa ketelusan dalam agensi kerajaan.
“Penggunaan Mekanisme Ketidakteraturan Serius bagi pengesanan awal pelanggaran, Papan Pemuka Audit (Audit Dashboards) untuk pemantauan masa nyata, serta penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dan Analitik Data Raya dapat mempertingkatkan kecekapan serta keberkesanan audit,” katanya.
Beliau berkata, pindaan Akta Audit 2024 telah memperluaskan bidang kuasa Ketua Audit Negara bagi memastikan setiap penemuan audit tidak sekadar dilaporkan, tetapi diterjemahkan kepada tindakan pembetulan yang nyata.
“Langkah ini disokong melalui audit susulan yang berstruktur, petunjuk prestasi utama (KPI) yang boleh diukur dan pelaporan sistematik kepada Parlimen.
“Malaysia kini turut mempengerusikan Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Audit Susulan, satu inisiatif serantau pertama yang meneguhkan kedudukan negara sebagai peneraju inovasi audit di rantau ini,” katanya. – UTUSAN










