Pelantikan Ketua Audit Negara menepati Perlembagaan Persekutuan

Pelantikan Ketua Audit Negara menepati Perlembagaan Persekutuan

FAHMI Fadzil dalam sidang akhbar mingguan mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi di Putrajaya.-UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengesahkan bahawa proses pelantikan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi adalah menepati prosedur seperti yang tertera dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, perkara itu dimaklumkan oleh Shamsul Azri menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.

“Tan Sri KSN juga telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa Wan Suraya telah berhenti menjadi seorang penjawat awam pada ketika beliau bersetuju untuk menjadi Ketua Audit Negara.

“Maksudnya, tidak timbul sebarang isu bahawa beliau adalah seorang penjawat awam yang sedang berkhidmat. Beliau tidak lagi menjadi seorang penjawat awam pada ketika beliau menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Audit Negara,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika mengulas berhubung kenyataan dikeluarkan oleh beberapa ahli Parlimen ketika membahaskan laporan Ketua Audit Negara yang mempertikai sama ada pelantikan Wan Suraya mengikut tata cara dan berperlembagaan.

Semalam, media melaporkan pelantikan Ketua Audit Negara perlu diperbetulkan dengan melantik beliau semula mengikut Perlembagaan Persekutuan. 

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, pelantikan sebelum ini boleh menjejaskan kredibiliti laporan audit kerajaan dan mewujudkan persepsi berat sebelah. 

Malah katanya, pelantikan tersebut dikhuatiri menyebabkan campur tangan eksekutif dalam proses semakan dan penelitian perbelanjaan negara. 

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan satu kenyataan berhubung perkara tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN