Malaysia sedia hantar bantuan kemanusiaan ke Afghanistan - Utusan Malaysia

Malaysia sedia hantar bantuan kemanusiaan ke Afghanistan

AHMAD Zahid Hamidi beramah mesra bersama pengunjung pada Majlis Pelancaran Program Motivasi Desa (MODE) di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Malaysia sedia menghantar bantuan kemanusian ke Afghanistan susulan gempa bumi berukuran 6.0 magnitud yang berlaku di negara itu minggu lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk mobilisasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke kawasan terjejas.

Katanya, beliau juga akan meminta Kor Kesihatan Diraja (KKD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu pasukan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertahanan.

“Saya juga akan mengkoordinasikan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) khususnya kumpulan sukarelawan yang berpengalaman membantu mangsa banjir dan bencana alam lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Komuniti Desa (MODE)@Kemas KKDW dan Program Bakti Madani@KPT di Masjid Tuminah Hamidi Bagan Datuk, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Hanafiah Man.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya akan menghubungi Duta Afghanistan di Kuala Lumpur bagi membincangkan perincian mengenai penghantaran bantuan tersebut.

“Insya-Allah, esok kita akan hubungi Duta Afghanistan untuk bincang perincian bagi membantu mereka yang terjejas,” katanya.

Angka korban gempa bumi kuat yang melanda timur Afghanistan pada Ahad lalu meningkat mendadak kepada lebih 2,200 orang menjadikannya yang terburuk dalam tempoh beberapa dekad.

Majoriti mangsa adalah di wilayah Kunar dengan 2,205 orang terbunuh manakala 3,640 lagi cedera selepas gempa berukuran 6.0 magnitud melanda kawasan pergunungan berhampiran sempadan Pakistan.

Angka korban dijangka terus meningkat berikutan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN