PETALING JAYA: Malaysia menzahirkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dengan Thailand dalam membangunkan sempadan bersama, memajukan perdagangan serta mempromosikan kebajikan rakyat kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepimpinan Perdana Menteri baharu Thailand, Anutin Charnvirakul amat penting dalam memastikan kestabilan serantau di bawah ASEAN terus terpelihara.
“Malaysia berharap untuk meneruskan kerjasama rapat kami dalam membangunkan sempadan bersama, memajukan perdagangan dan mempromosikan kebajikan rakyat kita.
“Thailand mempunyai peranan penting dalam menegakkan kestabilan serantau dalam ASEAN. Kepimpinan Perdana Menteri Anutin akan menjadi penting apabila negara bergerak ke peringkat seterusnya dalam perjalanan demokrasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Anutin atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Thailand yang baharu serta menyifatkan Anutin sebagai sahabat lama yang sentiasa bersama dalam susah dan senang.
Katanya, beliau telah menghubungi Anutin lewat petang semalam bagi menyampaikan ucapan tahniah serta menjemput beliau mengadakan lawatan kerja ke Malaysia dalam masa terdekat.
“Antara isu yang akan dibincangkan termasuk pengukuhan hubungan dua hala, perkembangan di sempadan Thailand–Kemboja serta kerjasama ASEAN,” katanya. – UTUSAN










