KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Remy Ishak meluahkan rasa kecewa apabila melihat sesetengah pelakon tempatan yang bersikap acuh tidak acuh dalam menggalas tanggungjawab sebagai anak seni.
Remy berkata, dia bahkan musykil dengan hala tuju yang ingin dicapai oleh sesetengah pelakon selain menyifatkan mereka tidak bersedia sepenuhnya dalam menghayati watak yang diberikan.
“Masalah pelakon tempatan sekarang ini, susah saya mahu jumpa yang betul-betul serius dalam menghayati watak. Maaf cakap kalau mahu terasa, silakan. Tapi kebanyakannya semua belum sedia.
“Ada masa saya pun tidak bersedia juga tapi kita cuba berikan yang terbaik demi menaikkan industri filem Malaysia ke tahap yang lebih baik. Tak tahu apa yang mereka kejarkan,” katanya.
Remy meluahkan perkara itu ketika ditemui pada majlis sidang media dan pengumuman pelakon filem Khadam, pada Rabu.
Dalam masa sama, aktor Hero Malaya itu turut berpendapat pelakon tidak seharusnya terlalu mengejar populariti sebaliknya menitikberatkan disiplin dan mutu lakonan ketika menggalas sesebuah watak.
“Jika mahu berlakon, buat cara seperti mahu berlakon. Pastikan kita serius menggalas tanggungjawab ini. Kalau setakat mahu popular, lebih baik layan sahaja media sosial yang ada.
“Untuk menjadi seorang pelakon, kita perlu serius dan tahu apa yang perlu kita tahu. Saya sendiri pun bukannya lepasan sekolah filem. Tapi bila saya bekerja, kita nak buat satu benda, kita kena bertanggungjawab.
“Saya tengok kebanyakannya duduk dalam
industri, tidak tahu apa yang mereka kejarkan. Seperti tiada hala tuju, tidak seperti pelakon-pelakon yang sezaman dengan saya,” jelasnya.
Mengulas mengenai penglibatannya menerusi filem Khadam, Remy juga sempat memuji mutu lakonan yang dipamerkan oleh pelakon Indonesia, Aghniny Haque meskipun baru melalui proses bacaan skrip.
“Apabila ditawarkan untuk bergandingan dengan Aghniny saya tidak menolaknya kerana dia sudah membintangi banyak filem yang bagus. Bayangkan sewaktu bertemu untuk sesi bacaan skrip, dia baca sahaja dialog itu saya sudah kagum.
“Saya seperti ‘gila ini orang’ biarpun baru baca skrip saya boleh rasa lakonan dia yang karakternya selari dengan imaginasi saya,” ujarnya.
Selain Remy dan Aghniny, filem Khadam terbitan Red Communications dan Komet Productions itu dibintangi Siti Khadijah Halim, June Lojong, Zara Zhaff dan Karl’ Ell.