KIULU: Struktur organisasi di peringkat kampung akan dinilai semula untuk membuka lebih banyak peluang kepemimpinan kepada golongan muda termasuk pendedahan kepada proses penggubalan dasar, perancangan program dan penyelarasan projek rakyat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, langkah itu dijangka meningkatkan keberkesanan pentadbiran akar umbi terutama dalam mengurus isu kritikal serta memudahkan komuniti dalam berkaitan hal pentadbiran dan penyelarasan program pembangunan di peringkat kampung.
“Kita akan menilai semula struktur organisasi di peringkat kampung untuk membuka lebih banyak peluang kepemimpinan kepada golongan muda termasuk pendedahan kepada proses penggubalan dasar, perancangan program dan penyelarasan projek rakyat.
“Pendekatan itu dijangka meningkatkan keberkesanan pentadbiran akar umbi dalam mengurus isu-isu kritikal serta memudahkan komuniti mengurus hal pentadbiran dan penyelarasan program pembangunan kampung,” katanya ketika merasmikan pertandingan dart di St Philip Neri, Pekan Nabalu, hari ini.
Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata, perubahan itu bertujuan memastikan setiap keputusan dibuat lebih berpandukan maklum balas masyarakat dan tidak hanya bersifat penyelesaian jangka pendek.
Katanya, latihan, pendedahan dasar, serta peluang memegang portfolio kerja akan menjadi fokus utama bagi mempersiapkan generasi pelapis untuk mentadbir Kiulu dengan lebih berkesan dan konsisten.
“Kita mahu melihat barisan kepemimpinan yang memahami perubahan zaman dan berani meneruskan agenda pembangunan Kiulu tanpa terputus di tengah jalan,” katanya.
Beliau ingin melihat perubahan pendekatan kepemimpinan apabila golongan belia dan wanita diberi ruang lebih besar untuk terbabit dalam proses membuat keputusan serta mengurus program komuniti.
“Langkah itu penting memastikan pendekatan kepemimpinan di Kiulu terus selari dengan keperluan semasa terutama dalam konteks pembangunan luar bandar yang memerlukan idea segar dan tenaga kerja baharu.
“Penyertaan generasi muda dan wanita adalah keperluan strategik untuk memperkukuhlan tadbir urus serta memastikan program yang dilaksanakan benar mengambil kira keperluan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, sudah tiba masa golongan terbabit memainkan peranan lebih besar dalam merangka serta melaksanakan agenda pembangunan Kiulu. – UTUSAN










