KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman lima individu termasuk seorang pekerja kilang durian kerana disyaki menceroboh dan mengusahakan kebun durian secara haram di kawasan Hutan Simpan dan Tanah Kerajaan di salah sebuah daerah di negeri ini.
Kesemua suspek turut disiasat atas dakwaan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram termasuk memperoleh, menerima, memiliki, memindah dan menggunakan hasil kewangan daripada tanaman durian yang diusahakan secara tidak sah.
Perintah reman selama empat hari sehingga 3 Oktober ini terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Mohd. Fauzan Mohd Suhairi selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini hari ini.
Menurut sumber, semua suspek lelaki berusia lingkungan antara 40 tahun hingga 60-an itu ditahan antara pukul 12 tengah hari hingga 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Raub, dekat sini.
“Siasatan awal mendapat, semua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2024 hingga 2025 dan mereka memperoleh keuntungan daripada aktiviti haram ini sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.
“Semua suspek, empat daripadanya merupakan pekebun dipercayai terlibat dalam urus niaga haram ini secara turun temurun yang juga didapati enggan menyertai program pemutihan yang ditawarkan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn. Bhd. yang telah dilantik sebagai pemegang pajakan tanah sah oleh kerajaan Pahang,” katanya.
Rentetan Op Sekat Durian Haram yang dijalankan oleh kerajaan Pahang bermula 25 April 2024, SPRM Pahang menjalankan operasi secara bersepadu bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bermula 2 hingga 19 September lalu dalam usaha mengenal pasti 33 lokasi kebun durian haram dalam kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan kekal.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd. Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (b) AMLATFPUAA 2001.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan. – UTUSAN










