BACHOK: Seorang lelaki yang memakai kostum kartun ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di kawasan taman permainan di Pantai Irama, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Mohd. Azrie Sulaiman berkata, suspek yang berusia 36 tahun dipercayai melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang.
“Kejadian turut dirakam oleh seorang orang awam yang berada di kawasan itu. Mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal selepas dibawa ke hospital untuk pemeriksaan perubatan,” katanya hari ini.
Mohd. Azrie berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
Katanya, lelaki itu ditahan reman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – UTUSAN









