HULU TERENGGANU: Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang memiliki 29 ekor burung pelbagai spesies tanpa lesen dan permit khas dicekup dalam Operasi Bersepadu Khazanah di Kampung Getang, di sini semalam.
Dalam operasi bersama antara Pasukan Polis Marin Kuala Terengganu dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Terengganu kira-kira pukul 1 petang itu, semua spesies burung dan 14 unit sangkar dianggarkan bernilai RM100,300 dirampas.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Asisten Komisioner Polis Zulafendy Hassan
berkata, hasil pemeriksaan dilakukan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Pehilitan bersama kekuatan satu pegawai kanan Polis dari Unit Risik Marin (URM) PPM Kuala Terengganu menemukan 29 ekor burung pelbagai spesies yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Antara spesies ditemukan dan dirampas ialah 18 ekor burung serindit, enam ekor bayan puling, tiga ekor merbah puling, tiga ekor merbah luris leher serta masing- masing seekor murai batu dan burung daun. Turut disita sebanyak 14 unit sangkar burung.
“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun mengakui kesemua hidupan liar tersebut adalah miliknya. Suspek gagal kemukakan sebarang lesen atau permit khas daripada Jabatan Perhilitan. Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya hari ini.
Menurut beliau, tindakan memiliki, menyimpan atau memperdagang hidupan liar tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius yang boleh dikenakan hukuman berat. – UTUSAN