Lelaki hilang ketika menjala ikan ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Lelaki hilang ketika menjala ikan ditemukan lemas

MAYAT lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi bot miliknya ditemukan hampir tenggelam di kawasan Jeti Awam Kampung Pulai Belayar, Gerik hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan di kawasan Jeti Awam Kampung Pulau Belayar di sini semalam, ditemukan lemas hari ini.

Mangsa, Azri Md Sharif, 53, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 5 petang, kira-kira 100 meter dari lokasi botnya hampir tenggelam.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, operasi mencari mangsa diaktifkan selepas pihaknya menerima maklumat pada pukul 7.18 pagi.

“Ketua operasi melakukan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota menurunkan bot dan melaksanakan pencarian di permukaan sungai.

“Beberapa anggota turut diarahkan melakukan pencarian di kawasan cetek berhampiran lokasi bot mangsa ditemukan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa akhirnya berjaya ditemukan kira-kira 100 meter dari bot sebelum dibawa naik ke darah dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi yang disertai lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dibantu pasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) selain penduduk kampung itu tamat pada pukul 7.15 petang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kehilangan seorang lelaki ketika menjala ikan dengan menaiki sebuah bot pada pukul 3.30 petang, semalam.

Kehilangan mangsa disedari sekitar pukul 8.30 malam selepas penduduk kampung menjumpai barangan milik lelaki itu terapung di permukaan air dekat Jeti Awam Kampung Pulau Belayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN