SERDANG: Lebih 6,000 peserta daripada 119 kontingen pelbagai agensi kerajaan, pasukan beruniform, institusi pengajian tinggi serta sektor swasta menyerikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di MAEPS, pagi ini.
Seawal pukul 6.00 pagi, ribuan peserta mula berkumpul di perkarangan MAEPS bagi menyertai perarakan yang bermula kira-kira 7.40 pagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, perarakan besar-besaran itu menjadi bukti kecintaan umat Islam terhadap Nabi Muhammad dan penghayatan sirah perjuangan Rasulullah.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua peserta dan ketua agensi yang hadir, sambil menegaskan semangat berselawat dan ukhuwah dalam kalangan peserta mampu memperkukuh penghayatan tema tahun ini, ‘Membangun Ummah Madani’.
Hadiah penghargaan turut disediakan kepada kontingen terbaik meliputi Johan, Naib Johan dan tempat ketiga yang masing-masing menerima wang tunai RM5,000, RM4,000 dan RM3,000 beserta piala.
Selepas perarakan, majlis utama dijangka bermula pukul 9 pagi dengan ketibaan dif-dif kenamaan serta ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah.
Kemuncak acara adalah keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dijangka pada pada 9.30 pagi.
Majlis diisi dengan persembahan khas Maulidur Rasul, bacaan doa, sembah ucapan oleh diikuti Mohd. Na’im, titah diraja serta pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M oleh Sultan Ibrahim.- UTUSAN