WASHINGTON: Pasangan yang berkahwin didapati lebih cenderung menghidap gangguan mental yang serupa antara satu sama lain.
Kajian melibatkan hampir 15 juta individu dari Eropah dan Asia mendapati mereka yang mengalami gangguan psikiatri seperti kemurungan lebih cenderung memilih pasangan yang turut mempunyai isu kesihatan mental berbanding individu tanpa gangguan tersebut.
Corak dikenal pasti oleh penyelidik dari Amerika Syarikat (AS) ini didapati konsisten merentasi budaya dan generasi, melibatkan pelbagai jenis gangguan mental sekali gus menunjukkan bahawa ia mungkin menjadi salah satu asas dalam hubungan manusia.
Kajian menyeluruh ini diterbitkan dalam jurnal Nature Human Behaviour dan merangkumi sembilan jenis gangguan termasuk skizofrenia, bipolar, kemurungan, kebimbangan (anxiety), gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD), autisme, gangguan obsesif kompulsif (OCD), penyalahgunaan bahan dan anoreksia nervosa.
Menggunakan data daripada lebih 14.8 juta individu di Taiwan, Denmark dan Sweden, kajian ini merupakan antara yang terbesar seumpamanya.
Hasil analisis mendapati individu dengan gangguan psikiatri bukan sahaja lebih cenderung berkahwin dengan seseorang yang mempunyai masalah kesihatan mental yang serupa, malah mereka juga berkemungkinan berkongsi gangguan yang sama.
Lebih menarik, para penyelidik turut mendapati anak-anak yang mempunyai kedua-dua ibu bapa dengan gangguan mental yang sama mempunyai lebih dua kali ganda risiko untuk mewarisi gangguan tersebut berbanding mereka yang hanya mempunyai seorang ibu atau bapa yang terjejas.
Ia khususnya berlaku dalam kalangan anak-anak kepada ibu bapa yang menghidap skizofrenia, kemurungan, gangguan bipolar, dan gangguan penggunaan bahan terlarang iaitu jenis gangguan yang dipercayai sangat dipengaruhi oleh faktor genetik.
“Penemuan utama kami ialah corak ini berlaku secara konsisten merentasi negara, budaya, dan sudah tentu, generasi,” kata Profesor Chun Chieh Fan dari Laureate Institute for Brain Research, yang juga merupakan penulis utama kajian tersebut. – AGENSI











