PETALING JAYA: Lebih 50,000 pengunjung hadir memeriahkan Kelate Charity Festival (KCF) 2025 anjuran bersama Madoo Bee, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan HMS Maju Group, melabuhkan tirainya, baru-baru ini.
Penganjuran KCF 2025 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 17 hingga 20 September lalu, membuktikan peranan festival ini amat penting dalam meringankan beban golongan asnaf, membuka peluang jana pendapatan dan mengangkat seni budaya.
Penyanyi popular, Ameng Spring menyifatkan penganjuran KCF 2025 adalah festival terbaik yang merangkumi banyak elemen menarik.
“Bagi saya, mana-mana acara atau festival perlu ada artis. Kalau tak ada artis, acara jadi tak hidup. Jadi penganjur perlu cari artis yang sesuai untuk festival.
“Misalnya KCF ini membawa ramai artis popular dan hebat. Sudah tentu, ia memberi impak positif kepada para pengunjung.
“Saya tengok KCF 2025 ini paling ‘dahsyat’ setakat ini di Kelantan. Bukan sahaja dari segi persembahan artis untuk sesi petang dan malam, malah setiap apa yang ditampilkan, semuanya boleh dipuji dan bagi saya sangat berjaya,” katanya yang mempersembahkan lagu Romantis, Bougainvilla, Pesanan Buat Kekasih, Sampai Hati, Sejiwa dan Sejujur Mana Kata-Kata semasa festival itu.
Selain Ameng, antara selebriti lain yang menjayakan KC Fest ini ialah Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Naqiu, Halim Yazid dan Bob Sentuhan.
Bukan itu sahaja, Seramai 1,111 pendikir barat bersama 20 penyanyi dan tukang karut menghiburkan pengunjung.
Menggunakan slogan ‘Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate’, Pengarah Eksekutif KC Fest, Muhammad Kamal Azmi Mohd Rasdin meluahkan rasa syukurnya atas kejayaan festival itu.
“Sambutan yang amat hebat sepanjang festival berlangsung. Alhamdulillah, walaupun ini KCF ini kali pertama dianjurkan, sasaran 50,000 ribu malah lebih pengunjung berjaya dicapai.
“Rata-ratanya berpuas hati dan tak dapat melupakan banyak kenangan manis apabila datang ke KCF Fest.
“Selain itu, para peniaga yang menyertai KCF ini semuanya berpuas hati dan mahu menyertai lagi pada tahun depan. Alhamdulillah, mereka nampak impak KCF ini yang boleh membantu mereka menjana pendapatan dan memperkenalkan lagi produk yang dibawa,” katanya.
Turut hadir Pengarah Urusan HMS Maju Group, Haffiz Mat Sulaiman, Ameng Spring dan pelakon, Cik Man.
Kamal Azmi yang juga pengasas Madoo Bee turut menzahirkan rasa syukur apabila hasrat untuk membantu golongan asnaf tercapai.
KCF 2025 turut meraikan 500 orang asnaf dengan sumbangan wang tunai daripada pihak penaja iaitu Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.
“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila KCF berjaya mencapai matlamatnya untuk meringankan golongan asnaf.
“Saya harap tahun depan lebih banyak bank atau mana-mana agensi tampil untuk membantu golongan asnaf. Untuk tahun depan, kami bercadang mahu membantu lebih ramai, mungkin dalam 1,500 orang.
“Seperti yang pernah saya nyatakan sebelum ini, matlamat utama festival ini adalah untuk menggerakkan semangat kebajikan dan kesatuan rakyat kerana kita mahu sampaikan mesej rezeki boleh dikongsi, kasih sayang boleh disemai dan budaya boleh terus dipelihara.
“Dana festival ini yang diperoleh daripada sewaan gerai jualan dan penjualan pakaian akan disumbangkan ke tabung KC Fest 2026.
“Menerusi KCF 2025 ini, masyarakat dapat melihat hiburan dan kebajikan boleh berjalan seiring sekaligus mendatangkan manfaat besar,” ujarnya.
Festival turut dimeriahkan dengan 1,111 peserta selawat yang dihimpunkan dalam program Selawat Perdana menerusi segmen Malam Kerohanian selain diadakan sesi perkongsian ilmu oleh penceramah, Ustazah Asma’ Husin dan artis jemputan, Angeline Tan.
Program turut diserikan dengan Kelate Charity Walk yang turut dihadiri Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang telah berkenan turun padang berjalan bersama rakyat.
Aktiviti bersama keluarga turut disediakan seperti persembahan Didi & Friends, pertandingan mewarna, catur dan push bike untuk kanak-kanak.