Larangan vape hanya galakkan pertumbuhan pasaran gelap

Larangan vape hanya galakkan pertumbuhan pasaran gelap

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Larangan penggunaan vape secara sepenuhnya hanya akan menggalakkan pertumbuhan pasaran gelap, menyukarkan penguatkuasaan dan menafikan akses pengguna kepada alternatif lebih selamat.

Wakil Consumer Choice Center (CCC) Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, Malaysia perlu belajar daripada pengalaman negara lain apabila larangan keras gagal dan hanya menyebabkan perdagangan haram.

Oleh itu, beliau mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Dasar Vape bagi menangani isu tersebut.

Katanya, ia perlu dianggotai oleh wakil kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan, pengguna dan pengusaha bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih inklusif, teratur dan praktikal.

“Malaysia sepatutnya memperkukuh penguatkuasaan, bukan melemahkannya dengan larangan terburu-buru.

“Dengan menegakkan undang-undang sedia ada dan mengguna pakai pendekatan berasaskan bukti, kita boleh melindungi pengguna, meningkatkan kesihatan awam serta mengelakkan kesilapan yang pernah berlaku di negara lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tarmizi berkata, pihaknya menyuarakan kebimbangan terhadap kurangnya ketelusan oleh KKM berhubung perbincangan mengenai dasar berkaitan rokok elektronik dan produk vape.

Kebimbangan itu timbul susulan taklimat tertutup oleh Menteri Kesihatan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan pada 21 Julai lalu yang sehingga kini tidak didedahkan kepada umum mahupun kepada Ahli Parlimen di luar JKPK.

Katanya, permintaan untuk penjelasan oleh Ahli Parlimen lain juga ditolak, dengan alasan sesi tersebut adalah untuk tatapan dalaman semata-mata.

“Ketelusan dan akauntabiliti adalah asas penting dalam proses dasar. Menyembunyikan maklumat penting bukan sahaja bercanggah dengan prinsip demokrasi, malah boleh menjejaskan keyakinan orang ramai.

“Sesuatu dasar tidak akan berjaya jika ia digubal secara tertutup tanpa penglibatan pihak berkepentingan,” katanya.

Tarmizi berkata, pihaknya turut membantah cadangan larangan menyeluruh terhadap produk vape yang dijangka dibentangkan dalam bentuk Memorandum Jemaah Menteri oleh Menteri Kesihatan.

Jelasnya, langkah tersebut adalah terburu-buru dan berisiko gagal atas tiga sebab utama iaitu Akta 852 masih baharu, ketidakselarasan dasar antara peringkat kerajaan dan pengalaman antarabangsa menunjukkan kegagalan larangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN