PETALING JAYA: Kewujudan pasaran gelap melibatkan jual beli tembaga dan bahan logam yang dicuri dikenal pasti antara faktor mendorong peningkatan kes kecurian kabel sehingga menjejaskan sistem pengangkutan awam negara dan keselamatan pengguna.
Kes kecurian kabel yang berlaku secara berulang khususnya melibatkan laluan komuter, sistem isyarat, pencawang dan rangkaian komunikasi kritikal menunjukkan terdapat elemen yang lebih serius daripada jenayah biasa.
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri berkata, keadaan itu berkemungkinan mempunyai ciri-ciri kecurian terancang yang menyasarkan infrastruktur pengangkutan negara dan ia tidak boleh dipandang ringan.
“Dalam sesetengah keadaan, ia boleh mempunyai ciri-ciri jenayah terancang yang menyasarkan infrastruktur strategik negara.
“Punca utama biasanya berkait dengan permintaan tinggi terhadap tembaga dan logam kabel serta aktiviti sindiket besi buruk yang membeli kabel tanpa pengesahan sumber,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini semalam melaporkan, kecurian kabel landasan tren KTMB menggugat keselamatan ribuan penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu untuk pelbagai tujuan termasuk berulang-alik ke tempat kerja.
Pada tahun lalu, sebanyak 104 kes kecurian kabel berlaku di seluruh negara menyebabkan lebih 1,300 jam kelewatan kumulatif di seluruh rangkaian KTMB.
Menurut Presiden Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia (CILTM), Prof Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein, kecurian itu menyebabkan kerugian RM4.4 juta dalam kos penggantian, pemulihan dan menyumbang 25,000 minit kelewatan kereta api.

Sementara itu, kata Jamil, antara petunjuk kemungkinan berlakunya kecurian terancang apabila kejadian berlaku di lokasi kritikal yang memerlukan pengetahuan teknikal, menyasarkan kabel tertentu bernilai tinggi seperti tembaga serta dilakukan secara sistematik dan berulang.
Katanya, pelaku juga berkemungkinan mengetahui waktu rondaan atau kelemahan kawalan keselamatan sehingga gangguan yang berlaku memberi kesan besar kepada operasi pengangkutan awam.
“Namun dalam banyak kes, motif utama tetap berkait dengan keuntungan daripada penjualan logam terutama tembaga.
“Permintaan tinggi terhadap logam kitar semula menyebabkan wujud pasaran gelap yang menggalakkan jenayah ini terus berlaku. Selagi ada pembeli yang sanggup menerima bahan mencurigakan tanpa pemeriksaan ketat, sindiket akan terus aktif,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, kes kecurian kabel melibatkan infrastruktur awam wajar diklasifikasikan sebagai kesalahan lebih berat kerana kesannya melangkaui kerugian kewangan semata-mata.
Katanya, infrastruktur seperti sistem rel, lampu jalan, telekomunikasi dan bekalan elektrik merupakan komponen kritikal kepada keselamatan serta fungsi harian masyarakat.
“Apabila kabel dicuri, risiko gangguan operasi dan kemalangan meningkat secara langsung khususnya dalam sistem pengangkutan awam yang bergantung kepada sistem isyarat dan komunikasi stabil.
“Dalam konteks pengangkutan rel, gangguan kabel boleh menyebabkan tren diperlahankan, dihentikan atau beroperasi secara manual. Ini bukan sahaja meningkatkan risiko keselamatan malah boleh menyebabkan kesesakan besar dan tekanan kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN










