CAP persoal kelewatan larangan vape, desak garis masa lebih jelas

CAP persoal kelewatan larangan vape, desak garis masa lebih jelas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyuarakan kekecewaan terhadap kenyataan berulang Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berhubung larangan penuh rokok elektronik dan vape yang sehingga kini masih belum dimuktamadkan.

Pegawai Pendidikan Kanan dan Aktivis Anti Merokok CAP, N. V. Subbarow berkata, isu larangan vape telah dibangkitkan sejak tahun lalu, namun, masih belum menunjukkan keputusan muktamad walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyatakan bahawa Memorandum Jemaah Menteri (MJM) akan dibentangkan semula ke Kabinet awal tahun depan.

“Ini bukan soal masa, tetapi soal kesediaan. Vape adalah isu kesihatan negara dan penangguhan hanya meningkatkan risiko kepada rakyat.

“Kenyataan Menteri Kesihatan bahawa kerajaan menuju ke arah larangan penuh termasuk jangkaan pelaksanaan sekitar pertengahan atau selewat-lewatnya hujung 2026 menimbulkan persoalan sama ada komitmen itu benar-benar akan direalisasikan,” katanya di sini, hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan kini berada pada fasa akhir ke arah penguatkuasaan pengharaman penuh rokok elektronik dan vape yang disasarkan bermula 2026.

Dzulkefly berkata, usaha tersebut akan memasuki peringkat pembentangan memorandum kepada Jemaah Menteri sebelum tindakan susulan dilaksanakan.

Dalam pada itu, Subbarow berkata, peningkatan risiko kesihatan akibat penggunaan vape, termasuk cecair yang tercemar dengan bahan terlarang seperti ganja sintetik terus berlaku selain penularan budaya vape dalam kalangan remaja dan gadis muda.

“Bagi sebahagian anak muda, vape sudah menjadi seperti ‘roti dan mentega’. Kelewatan hanya menyebabkan lebih ramai pelajar dan belia terjerumus kepada ketagihan,” katanya.

Subbarow berkata, CAP turut mempersoalkan sebab sebenar kelewatan sedangkan beberapa negara lain bertindak pantas mengharamkan produk vape.

“Adakah KKM akan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ walaupun isu ini telah dibincangkan berulang kali di peringkat Kabinet?” soal beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN