KPM beri tumpuan kepada keselamatan sekolah dalam Belanjawan 2026

KPM beri tumpuan kepada keselamatan sekolah dalam Belanjawan 2026

FADHLINA Sidek (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Dekad Membaca Kebangsaan 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya, Presint 9 (2) di sini, semalam.–UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan mengutamakan aspek keselamatan sekolah untuk diberi tumpuan kerajaan dalam Belanjawan 2026.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya turut menumpukan terhadap sokongan program antibuli, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan pendigitalan pendidikan serta persiapan kurikulum 2027.

“Ada beberapa perkara pen­ting termasuk TVET yang turut beri tumpuan dalam konteks kepentingan dan keperluan kepada hala tuju negara (kemudian) berkaitan dengan sokongan kepada antibuli ini juga kita masukkan dalam rencana kita kepada pihak Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan.

“Dan juga perkara lain yang berkait rapat dengan digital, teknologi dan persiapan untuk kurikulum 2027 serta pelan pembangunan pendidikan baharu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Dekad Membaca Kebangsaan 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (2) di sini semalam.

Fadhlina berkata, secara keseluruhan pembentangan dan permohonan kementeriannya menerusi Belanjawan 2026 adalah menyeluruh dengan mempunyai sasaran tertentu untuk dicapai.

“Ini kerana kita mahu terus meningkatkan dan memertabatkan kualiti pendidikan negara,” katanya.

Sementara itu, Fadhlina ber­kata, lebih 700 daripada 10,000 sekolah di seluruh negara selesai dilaksanakan audit keselamatan setakat ini sebagai langkah untuk memastikan aspek keselamatan terus dipertingkat.

Katanya, pelaksanaan audit bermula sejak pertengahan bulan lalu masih lagi berjalan sehingga kini dengan perkembangan semasa menunjukkan proses itu dilaksanakan dengan baik.

“Kita akan umumkan sedikit masa lagi tentang dapatan awal daripada (proses) audit ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang murid Tahun Tiga, Abdul Fatah Khairol Rizal meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Negeri Sembilan, pada Sabtu lalu.

Susulan itu, Fadhlina berkata, laporan lengkap hasil siasatan itu akan dikemukakan segera bagi tindakan lanjut serta memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN