PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan semakan kenaikan kadar Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) bagi petugas kesihatan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu penting bagi memastikan kebajikan petugas kesihatan terus diberi perhatian sewajarnya.
Katanya, semakan tersebut telah dilaksanakan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kini berada di peringkat akhir sebelum dibawa untuk pertimbangan serta kelulusan kerajaan.
“KKM sentiasa berusaha untuk menambah baik pemberian insentif serta kebajikan kakitangan dan petugas kesihatan dengan menjalankan pelbagai kajian elaun dan kemudahan.
“KKM komited untuk menyempurnakan semakan kenaikan kadar ETAP yang telah dijalankan sejak mutakhir ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kenaikan elaun itu dijangka dapat direalisasikan pada 2026 selepas proses pertimbangan dan kelulusan selesai.
“Bersama-sama dengan JPA, ia yang akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan
Jemaah Menteri dalam waktu terdekat agar pelaksanaannya dapat direalisasikan di tahun 2026 kelak,” katanya. – UTUSAN










