SEPANG: Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memasuki Zon Merah dalam tempoh 28 jam, iaitu pada 7.00 malam waktu Malaysia, esok.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim berkata, setakat pukul 3 petang tadi, semua kapal GSF telah berjaya memasuki Yellow Zone 2.
Katanya, kapal GSF kini berada kira-kira 227 batu nautika dari persisiran Gaza.
“Setakat semalam, tiada sebarang serangan atau aktiviti dron mencurigakan dilaporkan dan delegasi Malaysia juga berada dalam keadaan baik serta sihat,” katanya ketika sidang akhbar di SNCC, Sepang, hari ini.
Menurut Sani Araby, dua kapal flotila iaitu Nusantara yang berlayar dari Tunisia dan Taigete dari Itali tidak dapat meneruskan pelayaran ke Gaza berikutan kerosakan serius.
“Namun begitu, kapal lain yang mengalami kerosakan seperti Sirius dan Free Willy telah berjaya dibaiki serta dapat meneruskan pelayaran ke Gaza.
“Manakala bagi kerosakkan pada kapal Fair Lady menyebabkan ia sedang di tunda oleh kapal Estrella Manuel dan telah meneruskan pelayaran,” katanya.
Dalam pada itu, SNCC juga mengesahkan kehadiran dua kapal tambahan GSF dari Turkiye iaitu Sunflower dan Australe.
“Saya menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu hati, memperbanyakkan doa, solat hajat serta tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi atau propaganda pihak tertentu.
“Misi ini membawa tiga objektif utama iaitu mendesak penghentian perang di Gaza, menghentikan penderitaan kebuluran rakyat dan mendesak pembukaan segera koridor kemanusiaan untuk membolehkan bantuan masuk tanpa halangan.
“Kami menyeru semua pihak menjadikan SNCC sebagai sumber maklumat sahih agar tidak terjebak dengan propaganda Zionis,” katanya. – UTUSAN