Dubai: Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai menganjurkan Program Sambutan Malam Merdeka 2025 di sebuah restoran di Business Bay, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kelmarin.
Program itu dihadiri oleh lebih 200 orang hadirin termasuk Duta Besar Malaysia ke UAE, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin, Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd. Fadly Amri Aliaman dan warganegara Malaysia di Dubai dan Emiriah Utara.
Program Malam Merdeka 2025 ini dirangka sebagai wadah untuk menghimpunkan diaspora Malaysia di Dubai serta Emiriah utara, dan seterusnya untuk menzahirkan semangat kebersamaan serta kecintaan terhadap negara melalui pengisian acara yang sarat dengan nilai murni.
Antara pengisian bagi menyerikan majlis termasuk laungan Merdeka, nyanyian lagu Negaraku dan lagu patriotik Jalur Gemilang, persembahan montaj merdeka, slot kuiz kemerdekaan, persembahan kebudayaan dan sesi fotografi bersama sekalian yang hadir.
Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dalam kenyataannya berkata, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berangkat untuk menyerahkan koleksi Jalur Gemilang kepada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai.
Kurniaan tersebut diterima oleh Konsul, Muhammad Imran Muhamad Sedek dan Konsul Pejabat Pertanian Malaysia, Mohd Irfan Idrus.
Turut berangkat sama ialah, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail. – UTUSAN